Proaktif meningkatkan prestasi kerjaya

- Advertisement -

DALAM dunia kerjaya, kita bukan sekadar berkerja mengikut terma rujukan yang telah disediakan semata-mata. Datang pejabat, semak tugasan, siapkan tugasan dan balik rumah. Esok datang lagi, ulang rutin yang ‘biasa’ setiap hari lagi dan lagi. Setiap kali solat berdoa agar dapat naik pangkat dan gaji.

Ini hanyalah mimpi yang tidak akan menjadi kenyataan. Dunia yang sebenar tidak semudah itu. Di pejabat juga ada ‘politik’nya, ada ‘game’nya tersendiri, dan ada persaingannya yang tersendiri. Mereka yang mudah berpuas hati dengan prestasi diri sendiri pasti akan disisihkan, dikesampingkan dan tidak diendahkan.

- Advertisement -

Dunia korporat tidak sama seperti dunia NGO dan tidak sama macam kerja jamaah, ada ikhwah yang akan tanya kepada kita, ‘Nta okey ke akhi?’. Dalam dunia korporat kita kena ‘survive’, kena ada daya tahan yang tinggi, kena buat ‘homework’, kena sentiasa ‘upskilling’ dan kena sentiasa bersaing agar diri kita sentiasa diberikan perhatian dan kekal relevan.

Berikut saya ingin kongsikan tips sukses kerjaya untuk minggu ini bagi memastikan diri kita sentiasa relevan di dalam syarikat dan sentiasa mendapat perhatian yang positif daripada majikan kita.

(1) Proaktif dan mengambil inisiatif.

Pekerja yang proaktif dan mempunyai sikap inisiatif adalah mereka yang melakukan usaha atau sesuatu sebelum dipaksa oleh keadaan atau diarah melakukannya. Sesuatu kerja itu perlu dilakukan dengan tekun dan teliti untuk mengelakkan berlakunya kesilapan. Bersedia menangani masalah yang mungkin timbul dengan adanya pelan masa depan. 

Fikirkan cadangan untuk menyelesaikan masalah-masalah ini supaya anda dapat meng’wow’kan rakan sejawat dengan kemampuan anda berpandangan jauh dan menyediakan penyelesaian bagi masalah tersebut. 

(2) Berfikir seperti seorang Pengurus, bukan kakitangan bawahan.

Pekerja menunggu arahan. Pengurus yang cemerlang berfikir secara strategik mengenai perkara-perkara yang perlu dilakukan, dan melakukannya. Pekerja hanya berfikir untuk diri sendiri tetapi Pengurus memikirkan kepentingan kumpulan dan syarikat.

Pengurus yang baik membantu apabila perlu, tanpa disuruh. Mereka berkongsi pengetahuan dan membantu pekerja bawahan untuk menambah kemahiran. Seorang Pengurus juga sanggup berkorban masa dan tenaga untuk memastikan pasukannya berjaya. Datang awal ke pejabat, sentiasa bersikap profesional dan berfikiran positif. Anda juga boleh berbuat demikian!

(3) Berlakon sebagai watak orang berjaya.

Berlakon bukan untuk menjadi filemstar! Berlakon sekadar untuk meniru perangai atau sikap positif mereka yang telah berjaya. Mereka yang berjaya ini adalah individu yang kita pilih sebagai model ikutan, bersesuaian dengan bidang yang kita ceburi. 

Individu yang berjaya punyai perangai atau sikap tersendiri yang mendorong kejayaan itu. Antaranya, banyak membaca, bangun awal pagi, menepati waktu dan sebagainya. Selain itu mereka, ada ‘gaya’ tersendiri ketika bercakap, berjalan, cara berpakaian dan sebagainya. Inilah yang mahu ditiru.

Bukannya meniru material kejayaan yang mereka miliki. Kita bukan diminta berhutang untuk berkereta mewah sama dengan mereka. Menempah baju mahal untuk berpakaian sama seperti mereka dan sebagainya. Berfikir, bercakap dan bertindak seperti mereka yang berjaya. Lama kelamaan tabiat kejayaan akan sebati dengan diri kita. Menjadi sikap baru kita. Sikap yang positif.

Sekian, semoga bermanfaat! Sekiranya kalian merasakan tulisan ini bermanfaat, sila like dan kongsikan kepada rakan-rakan anda agar mereka juga mendapat manfaat daripada tulisan ini.

YB SENATOR IR TS KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
Ketua Pemuda Perikatan Nasional – HARAKAHDAILY 1/3/2021

- Advertisement -