Lindungi nyawa, jamin kelangsungan hidup rakyat

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tumpuan pentadbiran Kerajaan Perikatan Nasional adalah untuk mengimbangi antara keutamaan melindungi nyawa rakyat dan keperluan menjamin kelangsungan hidup sejak setahun yang lalu, kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Katanya, untuk melindungi nyawa dan kehidupan rakyat, kerajaan telah mengambil langkah berani dan proaktif dengan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dalam pada itu, kerajaan turut memperkenalkan pelbagai pakej rangsangan ekonomi yang bernilai RM305 bilion.

Menurutnya, langkah ini adalah untuk membendung penularan Covid-19 dan pada masa yang sama meringankan beban rakyat serta memastikan kelangsungan perniagaan.

- Advertisement -

“Alhamdulillah, dengan sokongan para frontliners, penjawat awam, pasukan keselamatan, sektor swasta dan masyarakat umum, langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan telah membuahkan hasil yang positif.

“Kita telah berhadapan dengan tiga gelombang jangkitan Covid-19 setakat ini. Kita telah berjaya melandaikan lekuk jangkitan gelombang pertama, membendung gelombang kedua, dan pada masa ini kes-kes harian dalam gelombang ketiga Covid-19 sedang menunjukkan trend penurunan,” katanya pada majlis Amanat Perdana Setahun Malaysia Prihatin, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, hari ini.

Dalam amanat itu, Muhyiddin turut memuji sistem kesihatan negara yang terus bertahan, malah semakin efektif dalam merawat pesakit Covid-19.

Malahan, kadar kematian akibat Covid-19 di Malaysia adalah antara yang terendah di dunia, iaitu di bawah 0.4 peratus dan lebih 90 peratus daripada yang dijangkiti telah pulih sepenuhnya.

Katanya lagi, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga telah bersiap sedia untuk memastikan sekurang-kurangya 126 ribu orang individu dapat diberikan suntikan vaksin Covid-19 setiap hari di 600 lokasi vaksinasi di seluruh negara dengan menyasarkan 80 peratus penduduk, iaitu bersamaan 26 juta orang individu, akan menerima suntikan vaksin yang diberikan secara percuma.

“Insya-Allah, dengan langkah kawalan pergerakan yang masih berkuatkuasa, pematuhan kepada SOP secara berterusan dan pelaksanaan Pelan Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang sudah pun dimulakan, kita akan dapat melandaikan lekuk jangkitan Covid-19 di negara kita dalam tempoh beberapa bulan akan datang. – HARAKAHDAILY 1/3/2021

- Advertisement -