Laksana tadbir urus patuh syariah, penerangan Islamik

Memorandum PAS kepada Kerajaan Negeri Johor

- Advertisement -

PARTI Islam Se-Malaysia (PAS) Negeri Johor menghantar satu memorandum cadangan kepada Pengerusi Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya YB Tuan Haji Mazlan B Bujang di pejabatnya.

PAS Negeri Johor telah mencadangkan beberapa perkara seperti berikut:

1. Menutup aurat.

Bermula dengan mewajibkan kepada staf penerangan sama ada Muslim dan digalakkan juga kepada yang bukan-Islam berpakaian menutup aurat terutamanya bahagian penyiaran. Ini bertujuan mendidik masyarakat secara tidak langsung dan jangka masa panjang ia menjadi amalan biasa yang diamalkan secara tepat mematuhi kehendak syarak.

- Advertisement -

2. Program ceramah Islamiah.

Memperbanyakkan program-program ceramah Islamiah dalam siaran perdana pada waktu yang lebih sesuai dan lebih kerap di radio Johor. Aktiviti ini dikategorikan sebagai tarbiyah dan mungkin juga boleh disebutkan sebagai usaha dakwah.

Manusia bukan sahaja perlu dihidangkan dengan makanan fizikal malahan makanan untuk roh dan jiwa. Seringkali diperdengar dan diperlihatkan dengan kebaikan akan menjadikan seseorang itu lebih positif dan menjuruskan peribadinya sebagai Muslim yang baik dan memberi kebaikan.

3. Iklan dakwah.

Membuat iklan-iklan dakwah yang kerap diulangsiar seperti iklan-iklan komersial. Contohnya berkenaan bahaya arak, kesan judi dan keburukan rasuah dan riba’. Implikasi dari sudut perundangan dan sosial.

Dibuat dalam bentuk iklan-iklan pendek padat dan bermaklumat. Yang paling penting mudah difahami dan dapat diterima oleh segenap masyarakat.

4. Wacana ilmiah dan dakwah berkala.

Merencana wacana ilmu dan dakwah berkala. Menjemput pakar dalam bidang ilmiah dan dakwah dari pelbagai bidang dan kategori tanpa batasan parti. Asalkan mereka layak dan tidak memanipulasi peluang untuk kepentingan peribadi.

5. Program bual bicara promosi usahawan produk Halalan Toyyiban.

Menampakkan salah satu usaha pihak kerajaan membantu usahawan-usahawan Negeri Johor memasarkan produk mereka. Tujuannya, menggalakkan Bangsa Johor mengusahakan produk yang halal lagi baik.

6. Program khas bersiri penerangan, penghayatan dan pelaksanaan Maqosid Syar’iyah.

Maqasid Syar’iyah juga mempunyai kepentingan yang tersendiri dalam mengukur dan mempertimbangkan sesuatu perkara demi menjamin kemaslahatan dan menolak keburukan. Pertimbangan yang menjadi kayu pengukur ini semestinya berlandaskan nilai-nilai al-Quran dan al-Sunnah yang menjadi asas bagi memastikan ianya berada di dalam kerangka syariat.

Makanya untuk memberi faham kepada rakyat supaya menerima dan mengamalkan Maqasid Syar’iyah ini adalah usaha yang panjang dan perlukan kesabaran dan berpaksikan kebenaran.

“Islam Memperkukuh Perpaduan”

RUSMAN KEMIN
Ketua Penerangan
Badan Perhubungan PAS Negeri Johor (BPPNJ) – HARAKAHDAILY 1/3/2021

- Advertisement -