Kerajaan PN berjaya kemudi pentadbiran negara

Ustaz Dato' Bentara Kanan Ahmad Yakob
- Advertisement -

KOTA BHARU: Setahun usia kerajaan Perikatan Nasional (PN) dianggap berjaya mengemudi pentadbiran negara dengan cemerlang.

Menteri Besar Kelantan, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, kerajaan PN berjaya merangsang perkembangan ekonomi tahun ini ketika negara masih lagi berhadapan pandemik Covid-19.

“Bukan itu sahaja, kerajaan PN memulih hubungan peringkat antarabangsa dan memberi keutamaan pembangunan digital,” katanya sebagai mengulas Amanat Perdana Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sempena setahun Malaysia Prihatin di sini hari ini.

Pada ucapan amanah yang disiarkan secara langsung tadi Muhyiddin memberitahu kedudukan ekonomi negara dijangka bertambah baik tahun ini.

- Advertisement -

Laporan World Economic Outlook oleh Tabung Kewangan Antarabangsa, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini diunjur kembali pulih pada kadar 5.5 peratus, manakala perdagangan dunia turut diunjur berkembang 8.1 peratus.

Ahmad juga berkata, kerajaan Kelantan mengalu-alukan usaha kerajaan PN menaik taraf aspek keselamatan negara di kawasan sempadan.

“Dengan usaha itu insya-Allah negara akan lebih selamat daripada sebarang pencerobohan, sindiket penyeludupan, pemerdagangan manusia, dadah dan sebagainya,” ujarnya.

Menurutnya Kelantan merakamkan ucapan terima kasih di atas kesungguhan kerajaan Persekutuan memperketatkan Op Benteng di kawasan panas di sempadan Malaysia-Thailand bagi mengawal keselamatan negara.

Kata beliau usaha berkenaan termasuk melaksanakan rondaan secara agresif di kawasan sempadan amat dihargai. – HARAKAHDAILY 1/3/2021

- Advertisement -