Kagum dengan Kerajaan PN – Prof Ibrahim

KUALA LUMPUR: Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Emeritus Tan Sri Ibrahim Shah kagum dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sentiasa teliti dengan masalah rakyat.

Katanya, walaupun kerajaan Pakatan Harapan (PH) sentiasa mendakwa kerajaannya tiada duit, namun setelah Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik menjadi Perdana Menteri berbilion ringgit diperuntukan bagi membantu rakyat yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

“Setelah Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri, sebenarnya saya rasa cukup risau dan bimbang kerana pada masa itu bermula dengan begitu agak drastik dan sebelum Perikatan Nasional mengambil alih, kita di bawah Pakatan Harapan di mana secara jelas semasa kerajaan PH mereka mengatakan ‘tiada duit’.

“Saya masih ingat hingga kerajaan PH minta bantuan, minta sedekah bahkan budak-budak kecik pun bagi duit, dia nak minta pinjaman daripada luar hinggakan kita diminta supaya mengikat perutlah, maksudnya memang tidak ada duit,” katanya.

Advertisement

Namun katanya, dengan kebijaksanaan Muhyiddin telah dapat menyelesaikan banyak masalah.

“Pertama, apabila rakyat menghadapi masalah dari segi sara hidup, makan minum, kalau dibandingkan dengan kebanyakan negara membangun, kita yang paling bertuah, apa bentuk bantuan yang kerajaan pada hari ini tidak beri kepada rakyat.

“Walaupun dikatakan dahulu tidak ada duit dan saya rasa cukup kagum kerana apabila saya melihat betapa serius dan prihatinnya kerajaan (PN) terhadap rakyat yang berbelanjakan berbilion ringgit tanpa henti.

“PN sentiasa meneliti apakah masalah-masalah lain dan cuba menyelesaikan masalah itu dengan begitu pantas, hal ini amat mengagumkan,” ujarnya dalam Bicara Politik Khas Pertubuhan Intelektual Negara (Pintar) bertajuk Setahun Pemerintahan Perikatan Nasional, hari ini.

Ibrahim meluahkan secara peribadi dia merasa cukup gusar selama 22 bulan PH menjadi kerajaan kerana beliau berpendapat ketika itu parti yang dominan mengawal negara adalah bukan kalangan dari parti Melayu.

“Saya bukan bersifat rasis, tidak. Tapi negara ini berpaksikan kepada peribuminya (iaitu) Melayu majoriti.

“Apabila pada masa itu mereka memerintah, kita lihat betapa banyak perkara-perkara polisi dan tindakan yang menyusahkan dan merendahkan martabat kita,” ujarnya.

Bagaimanapun kata Ibrahim dengan kuasa Allah tidak semena-mena PH telah menjatuhkan kerajaan mereka sendiri.

“Saya berpuas hati melihat tiba-tiba parti dominan orang Melayu-Islam memerintah kembali, walaupun sebelum itu kita ada Muafakat Nasional dengan besar hati menghulurkan tangan iaitu parti Umno dan PAS menubuhkan kerajaan di bawah Perikatan Nasional ini, ia satu tindakan yang baik,” tambah Ibrahim.

Beliau berandaian sekiranya Muhyiddin tidak berjaya menyatukan orang Melayu-Islam untuk menubuhkan kerajaan, sudah pasti kerajaan yang dominannya bukan Islam masih memerintah negara.

Tidak mustahil katanya, negara akan terus berdepan dengan masalah yang lebih rumit dan mengerikan.

Sementara itu, Ibrahim berkata perkara yang perlu dilakukan oleh kerajaan hari ini adalah mengatur strategi mengukuhkan perpaduan bagi menghadapi pilihan raya akan datang.

“Sekarang kita telah menjadi kerajaan, alhamdulillah dengan kuasa Allah, parti Melayu-Islam adalah dominan, tetapi saya melihat sekiranya di dalam pilihan raya akan datang jika PN tidak mengatur strategi mengukuhkan perpaduan, PN akan kalah.

“Tindakan drastik mesti diambil oleh pemimpin-pemimpin Melayu-Islam pada hari ini tidak berparti kerana kerajaan sekarang ditubuhkan bukan sahaja PPBM (Bersatu) tetapi juga sokongan dari Umno, PAS dan Barisan Nasional.

“Maka kerajaan pada hari ini mesti mencari jalan memastikan bahawa pilihan raya akan datang PN terus memegang teraju kepimpinan dengan bantuan kawan-kawan lain termasuk sahabat-sahabat kita dari Cina, India dan Sabah dan Sarawak,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berharap supaya isu penyelewengan dan salah guna kuasa seperti isu tanah di Raub, Pahang serta rasuah dalam kalangan pemimpin dan penjawat awam segera diselesaikan.

Pada masa yang sama katanya, sejarah dan fakta yang menyeleweng dalam negara juga perlu dibetulkan.

“Kalau tidak diperbetulkan ia akan menyelewengkan anak-anak kita,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 1/3/2021