‘Geng publika’ pula tohmahan baharu terhadap PAS

- Advertisement -

ALOR SETAR: Selepas pelbagai usaha dilakukan bagi memecahkan PAS tidak menjadi kenyataan, kini muncul pula istilah ‘geng publika’ yang cuba dikaitkan dengan parti itu.

Antara nama yang dikaitkan dengan geng terbabit termasuk Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor dan Setiausaha Agung PAS, Dato’ Seri Takiyuddin Hassan.

Malah baru-baru ini tular poster bertajuk ‘PAS Bakal Berpecah Lagi’ dengan melabelkan geng publika.

“Tuduhan itu tidak benar. Saya cari publika tang mana.. Ingat kat Indonesia, rupa-rupa bila saya search di Google rupanya publika tu shopping kompleks di Kuala Lumpur.

“Untuk penjelasan apakah ‘publika’ perlu tanya pihak yang membuat dakwaan kerana PAS sendiri tidak tahu menahu akan hal itu,” kata Sanusi di sini.

- Advertisement -

Beliau yang juga Ketua Pengarah Pilihanraya PAS Pusat berkata, cubaan untuk memecah belahkan pemimpin PAS bukan perkara baharu kerana ia sudah berlaku sejak 1951.

Menurutnya usaha seperti itu sudah lama berlaku sejak PAS ditubuhkan pada 1951.

“Jadi kalau nak tahu apa-apa lebih lanjut berkenaan publika tu, kena tanya mereka yang buat dakwaan. Kami (PAS) tak tahu pun. Malah saya yang dikatakan terlibat pun tak apa-apa pun,” katanya.

Sanusi turut membidas Ahli Parlimen Pokok Sena, Dato’ Mahfuz Omar yang mendakwa wujudnya ‘Jebon’ dalam PAS.

“Yang itu kena tanya Mahfuz lah. Hanya spesis jebon sahaja yang kenal jebon,” ujarnya

Beliau juga berkata, hubungan PAS dan Umno dalam Muafakat Nasional (MN) di Kedah berjalan baik dan tidak berlaku ketidaksefahaman seperti dakwaan pembangkang. – HARAKAHDAILY 1/3/2021

- Advertisement -