Ekonomi dijangka bertambah baik tahun ini

Tan Sri Muhyiddin Yassin
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan kedudukan ekonomi dijangkakan bertambah baik pada tahun ini.

Menurutnya, laporan World Economic Outlook oleh Tabung Kewangan Antarabangsa, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia pada tahun ini diunjur kembali pulih pada kadar 5.5 peratus, manakala perdagangan dunia turut diunjur kembali berkembang pada kadar 8.1 peratus.

Katanya, sejajar dengan pemulihan aktiviti ekonomi dan perdagangan dunia, ekonomi negara turut dijangka kembali pulih pada tahun 2021.

“Badan-badan antarabangsa seperti Tabung Kewangan Antarabangsa dan Bank Dunia pada bulan Januari 2021 mengunjurkan ekonomi negara kita akan berkembang pada kadar 7 peratus dan 6.7 peratus.

- Advertisement -

“Pemulihan ekonomi negara akan turut diterajui oleh sektor perkhidmatan dan pembuatan yang menyumbang lebih 80 peratus daripada KDNK.

“Pada masa yang sama, permintaan domestik diunjur mencatat pertumbuhan yang stabil disokong oleh penambahbaikan dalam pasaran buruh, kadar inflasi yang rendah dan keadaan pembiayaan yang menggalakkan serta penerusan semula projek utama infrastruktur,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyampaikan Amanat Perdana Setahun Malaysia Prihatin yang disiarkan secara langsung melalui media dan media sosial rasmi kerajaan, hari ini.

Muhyiddin berkata keyakinan dalam pasaran eksport Malaysia tetap teguh terutama daripada pelabur asing berdasarkan pelaburan sebanyak RM23.1 bilion dalam pasaran bon sehingga Ogos 2020.

Malahan, katanya pelaburan asing bersih ke Malaysia juga kekal positif daripada RM2.2 bilion pada suku kedua 2020 kepada RM6.1 bilion pada suku keempat 2020.

“Antara faktor yang menyokong keyakinan pelabur luar ini ialah usaha giat Kerajaan untuk mengadakan libat urus dengan pelabur sedia ada bagi memahami kehendak industri dalam tempoh pelaksanaan kawalan pergerakan.

“Selain itu, usaha-usaha untuk menarik pelaburan tambahan dan baharu juga sentiasa giat dijalankan,” katanya lagi.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, ringgit Malaysia juga telah muncul antara mata wang paling kukuh di Asia Tenggara dipacu oleh inisiatif secara berterusan pihak kerajaan dan swasta dalam memulihkan ekonomi dan menangani pandemik Covid-19.

“Ini merupakan petunjuk penting untuk menilai kemapanan ekonomi negara dalam jangka masa panjang,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 1/3/2021

- Advertisement -