Covid-19: Kerajaan sedar ramai rakyat dalam kesusahan

Tan Sri Muhyiddin Yassin
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan menyedari masih ramai rakyat negara ini yang berada dalam kesusahan meskipun pelbagai bentuk bantuan telah disalurkan semasa krisis pandemik Covid-19.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan bahawa jumlah rakyat yang jatuh miskin akibat pandemik Covid-19 telah meningkat.

“Saya mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi setiap minggu dan dalam mesyuarat yang terakhir dilaporkan bahawa jumlah rakyat yang jatuh miskin akibat pandemik Covid-19 telah meningkat.

“Mereka yang dahulunya berada dalam kumpulan T20 sebahagiannya telah menjadi M40 dan sebahagian kumpulan M40 telah menjadi kumpulan B40. Mereka yang berada dalam kumpulan B40 pula menjadi bertambah miskin kerana kesan penguncupan ekonomi yang sedang dialami oleh negara kita.

- Advertisement -

“Kabinet juga telah membincangkan secara mendalam masalah kemiskinan yang sedang berlaku di negara kita,” katanya ketika berucap menyampaikan Amanat Perdana Setahun Malaysia Prihatin, hari ini.

Beliau yang dipertanggungjawbkan untuk mempengerusikan Jawatankuasa Kabinet Mengenai Kemiskinan katanya akan meneliti masalah ini secara lebih terperinci dan apa langkah-langkah yang boleh dilaksanakan oleh Kerajaan, GLC, badan-badan sukarela serta sektor swasta untuk bersama-sama mengatasi masalah kemiskinan.

Muhyiddin berkata program pembasmian kemiskinan akan mengambilkira peningkatan Paras Garis Kemiskinan 2021 (PGK 2021) daripada RM980 kepada RM2,208 yang akan meningkatkan bilangan isi rumah miskin dan miskin tegar dan seterusnya meningkatkan bilangan kumpulan sasar. – HARAKAHDAILY 1/3/2021

- Advertisement -