Tiga beradik warga emas cacat penglihatan berdikari

Foto daripada Facebook Yadim.
- Advertisement -

ARAU: Kecacatan penglihatan yang dialami tiga beradik warga emas di sini tidak menjadi alasan untuk mereka hidup berdikari meneruskan kehidupan dengan menjual barangan kraf tangan dan bantal kekabu.

Che Halijah Ibrahim, 80, yang mesra disapa mak andak, Che Manai Ibrahim, 74, (mak cik) dan Che Zainah Ibrahim, 69, (mak su) mengakui hidup bahagia bersama dan sepakat melakukan kerja rumah dan mencari rezeki.

“Mak andak memasak, mak cik mengemas rumah, mak su pula keluar menjual hasil kraf tangan, itulah rutin harian kami,” kata Che Zainah kepada pemberita selepas penyerahan sumbangan oleh Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) di Kampung Titi Besi di sini, semalam.

Che Zainah berkata, kehidupan mereka saling melengkapi dan terurus dengan baik biarpun hidup serba kekurangan kerana mereka sudah biasa membahagikan tugas dan melakukannya sejak kecil bersama.

- Advertisement -

Adik bongsu daripada tiga beradik itu sering dibantu Che Halijah dan Che Manai menganyam rotan yang dipelajari mereka sejak kecil, untuk dijadikan pelbagai produk kraf seperti beg tangan dan tudung saji.

“Sebelum saya keluar berniaga di pasar tani di sekitar Perlis, kakak, Che Halijah akan pastikan saya menjamah makanan yang dimasaknya terlebih dahulu. Dia gemar memasak sup dan gulai, menu kegemaran kami bertiga ialah gulai ikan nyok-nyok,” katanya.

Che Manai pula katanya, banyak membantunya menguruskan barangan untuk dibawa berjual selain memastikan rumah dalam keadaan bersih dan teratur.

Menurut Che Zainah, buat masa ini mereka kekurangan bekalan rotan yang diperoleh dari Pulau Pinang berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri itu lalu mengambil inisiatif menghasilkan bantal kekabu yang bahan mentah itu mudah didapati di kampung-kampung.

Barangan rotan yang dianyam dijual sekitar RM60 ke RM80 manakala bantal kekabu dijual dengan harga RM25 ke RM35 mengikut saiz, katanya dan menambah turut mempunyai kiosk sendiri di Pauh di sini bagi menempatkan jualan hasil seni tangan mereka.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yadim, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh berkata, pihaknya di bawah program YADIM Peduli akan terus menyampaikan sumbangan kepada kumpulan yang memerlukan termasuk asnaf, orang kurang upaya (OKU) dan lain-lain.

“Kita sasar 150 asnaf daripada pelbagai kumpulan dan kita dalam perancangan baik pulih lima rumah asnaf dalam tempoh terdekat ini,” katanya.

Beliau turut meluahkan rasa kagum dengan kecekalan tiga beradik yang buta sejak kecil itu yang mampu meneruskan hidup seperti orang biasa dan diharapkan dengan bantuan program YADIM Peduli itu dapat meringankan beban mereka. – BERNAMA

- Advertisement -