Sokongan dua MP PKR kukuhkan Kerajaan PN

Foto daripada Facebook Tan Sri Muhyiddn Yassin.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menerima akuan bersumpah (SD) daripada dua ahli Parlimen pembangkang yang menyatakan sokongan kepada Kerajaan Perikatan Nasional (PN), hari ini.

Beliau berkata, akuan bersumpah oleh Ahli Parlimen Julau, Larry Sng Wei Shien dan Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong Shiau Yoon itu ditandatangani dan diserahkan kepadanya selepas sesi pemukiman anggota Jemaah Menteri sempena setahun Kerajaan PN di Putrajaya.

“Alhamdulillah, sokongan ini tentunya akan mengukuhkan lagi kerajaan PN dalam usaha dan perancangan untuk mengurus pandemik Covid-19 serta memangkin kebangkitan semula ekonomi negara,” ujarnya menerusi hantaran dalam laman Facebook beliau.

- Advertisement -

Sementara itu, Bernama melaporkan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah berkata sokongan yang dizahirkan dua Ahli Parlimen dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) kepada kerajaan PN, akan memberi kestabilan kepada kerajaan dalam menyusun semula serta memperkukuhkan ekonomi, bagi negara mendepani pandemik Covid-19.

“Pada saya penting, sebab kestabilan politik adalah perkara yang paling mustahak dalam suasana negara masih berhadapan Covid-19, dan kita nak menyusun semula dan memperkukuhkan ekonomi, perkara paling mustahak adalah stabiliti,” katanya yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota, Pahang.

Saifuddin yang ditemui Bernama di Putrajaya hari ini selepas meninjau persiapan Majlis Amanat Perdana Setahun Malaysia Prihatin yang akan berlangsung esok sempena setahun Muhyiddin menerajui kepimpinan negara berkata, sokongan dua ahli parlimen itu adalah tepat pada masanya dan sangat dialukan. – HARAKAHDAILY 28/2/2021

- Advertisement -