Operasi cari mangsa hilang di pantai diteruskan

- Advertisement -

KUANTAN: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) Mohd Fazrul Hakimi Mohd Ariffin, 11, yang hilang semasa mandi di Pantai Sungai Ular, di sini, disambung semula pukul 7 pagi tadi.

Timbalan Pengarah Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Pahang, Kepten Mohamad Suhairy Hussain berkata operasi yang ditangguhkan kira-kira 11 malam semalam diteruskan hari ini di persisiran pantai dan kawasan pencarian meliputi 80 batu nautika.

“Tiga aset daripada APMM, polis marin, bomba telah digerakkan untuk meneruskan pencarian dibantu penduduk Kampung Sungai Ular…cuaca agak baik dan saya harap ia dapat membantu operasi SAR hari ini,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian di sini, hari ini.

- Advertisement -

Tambah beliau, seramai 107 anggota daripada pelbagai agensi antaranya polis, bomba, APMM dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) terlibat dalam SAR itu.

Dalam kejadian kira-kira 5.45 petang semalam, Fitrah Dhia Zahraa’ Zaidi, 9, dan Nor Najuwa Mohd Ariffin, 13, yang juga kakak kepada Mohd Fazrul Hakimi ditemukan lemas.

Fitrah Dhia Zulaikha, 13, yang juga kakak kepada Fitrah Dhia Zahraa’ juga hampir lemas ketika cuba menyelamatkan adiknya, bagaimanapun diselamatkan oleh orang awam.

Seorang saksi kejadian, Badrol Hisham Mohamad, 39, berkata sejurus mendapat tahu kejadian itu beliau dan rakannya yang juga seorang petugas kesihatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan bergegas ke lokasi kejadian sekitar pukul 6 petang.

Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Sungai Ular itu berkata, apabila sampai di tempat kejadian, suasananya agak kelam-kabut dan terdapat pengunjung pantai yang telah sempat menyelamatkan seorang mangsa.

“Seorang remaja perempuan Fitrah Dhia Zulaikha telah diselamatkan orang awam dan dibawa naik ke bot berhampiran manakala kawan saya telah memberi bantuan penafasan kepada adiknya (Fitrah Dhia Zahraa’) sebelum saya terus membuat penggilan ke talian 999 untuk bantuan, namun mangsa tidak dapat diselamatkan,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -