MB Kedah terima suntikan vaksin Covid-19

- Advertisement -

ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor menjadi individu pertama di negeri itu yang menerima suntikan vaksin Covid–19 Pfizer-BioNTech, kira-kira jam 5.05 petang pada Program Suntikan Covid-19  di Wisma Darul Aman di sini, hari ini.

- Advertisement -

Hal berkenaan disusuli lima individu lain antaranya, Exco Kesihatan dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Dato’ Dr Mohd Hayati Othman, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah, Dr Mohd Fitri Ujang dan tiga lagi merupakan petugas barisan hadapan.

Sementara itu, Sanusi berkata, kira-kira 1.76 juta rakyat Kedah berumur 18 tahun ke atas bakal menerima suntikan vaksin sehingga Februari 2022 melalui tiga fasa sepertimana ditetapkan oleh Kerajaan Persekutuan.

“Seramai 25,000 petugas barisan hadapan akan menerima vaksin ini bermula hari ini 28 Februari sehingga April, di tiga tempat iaitu Alor Setar, Sungai Petani dan Langkawi.

“Manakala fasa ke dua bermula April dan seterusnya fasa tiga sehingga Februari tahun hadapan,” ujar beliau dalam sidang media di sini, hari ini.

Sanusi menyeru kepada seluruh rakyat Kedah agar bersikap positif segera mendaftar melalui aplikasi MySejahtera untuk mendapatkan vaksinisasi ini.

“Tak sakit apa-apa pun. Macam gigitan semut kecil sahaja. Kebetulan saya ini ‘kahaq’, sikit pun tak rasa sakit. Malah saya boleh gelak lagi.

“Cuma selepas suntikan, direhatkan sekejap dalam setengah jam untuk pemeriksaan tekanan darah. Tekanan darah saya pun ok dan normal. 128/77 sesuailah untuk umur macam saya,” kata beliau berseloroh.

Justeru itu, beliau mengharapkan orang ramai yang masih was-was dengan penggunaan vaksin ini boleh merujuk kepada pihak yang pakar dalam bidang berkenaan.

“Tidak perlu dengar cerita-cerita yang tak betul. Islam pun menuntut agar merujuk kepada yang pakar. Rakyat patut mendengar penjelasan Jabatan Kesihatan dan Kementerian Kesihatan.

“Tak patutlah timbulkan keraguan kerana Majlis Fatwa pun sudah menjelaskan hukum vaksinisasi ini. Ia adalah kewajipan untuk membendung wabak terutama kepada petugas frontliner ,” tegas Sanusi lagi.

Beliau yakin melalui perlindungan berkelompok ini kadar penularan wabak itu dapat diturunkan dengan  yang cepat walau pun kini kes positif Covid di negeri itu sudah menurun ke angka antara 15 hingga 17 kes.

Sementara kes positif rakyat tempatan menunjukkan angka kurang dari 10 kes, selebihnya melibatkan banduan dan pekerja industri dari negeri jiran.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada tindakan Kementerian Sumber Manusia yang melaksanakan akta 466 terhadap pusat-pusat penempatan pembinaan dan kawal selia dengan baik sehingga kes jangkitan melibatkan buruh binaan dapat dikurangkan. – HARAKAHDAILY 28/2/2021

- Advertisement -