Profesional, korporat sedia terima vaksin

- Advertisement -

KOTA BHARU: Lebih 160 ahli Majlis Jaksa Pendamai (JP) Kelantan bersedia untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 sekiranya diarahkan berbuat demikian pada masa terdekat.

Naib Presidennya, Dato’ Razali Daud berkata, meski pun terdapat pihak tertentu cuba menakut-nakutkan rakyat berhubung vaksin, namun pihaknya percaya usaha kerajaan dalam menangani Covid-19 akan mencapai hasratnya.

Katanya, langkah kerajaan memberikan kesedaran kepada masyarakat berhubung vaksinasi dijangka akan memberi kefahaman lebih jelas kepada orang ramai.

- Advertisement -

“Media massa di samping jabatan kerajaan memberikan gambaran jelas berhubung kesan mahu pun betapa pentingnya suntikan vaksin itu diambil.

“Hanya segelintir sahaja yang terlibat dengan anti vaksin, tetapi kita ahli-ahli JP yang terdiri daripada individu korporat dan profesional menyambut baik usaha menggunakan vaksin Covid-19 ini,” katanya ketika ditemui selepas program bantuan Covid-19 di sini.

Tambahnya, rakyat tidak buta huruf untuk menilai tindakan pimpinan negara dalam memastikan penularan pandemik Covid-19 dapat diputuskan.

Seramai 100 keluarga asnaf menerima sumbangan tersebut pada majlis yang diadakan di Masjid Sultan Ismail Petra Kubang Kerian di sini semalam.

Turut hadir pada majlis itu Setiausaha Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) yang juga Adun Pasir Tumboh, Ustaz Abdul Rahman Yunus dan Setiausaha JP Kelantan, Dato’ Riduan Junoh.

Razali juga berkata, Majlis JP akan memainkan peranan untuk meningkatkan lagi kesedaran masyarakat berhubung kepentingan pengambilan suntikan vaksin Covid-19. – HARAKAHDAILY 27/2/2021

- Advertisement -