Pemimpin PAS Pahang antara awal terima vaksin

KUANTAN: Para pimpinan PAS Negeri Pahang antara terawal yang bersama dalam senarai Program Imunisasi Vaksin COVID-19 Peringkat Negeri ini yang telah dilangsungkan di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Jalan Teluk Sisik, di sini petang semalam.

Advertisement

Pesuruhjaya, Ustaz Rosli Abdul Jabar yang juga ADUN Tanjung Lumpur dan Timbalan Pesuruhjaya, Andansura Rabu selaku juga ADUN Beserah serta Ketua Penerangan, Ustaz Mohd Tarmizi Yahaya yakni ADUN Panching telah menerima suntikan fasa pertama ini.

Menteri Besar, Datuk Sri Wan Rosdy Wan Ismail mengetuai senarai selaku penerima vaksin pertama di negeri ini diikuti semua EXCO Kerajaan Negeri, selain ketua-ketua jabatan dan pimpinan barisan hadapan.

Semua mereka menerima suntikan vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech setelah Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi individu pertama menerima suntikan setelah vaksin tersebut tiba di negara ini di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, 21 Februari lalu.

“Penghargaan kerana kerajaan menyediakan suntikan ini secara percuma dan berharap ia berjalan lancar seluruh negeri Pahang. Serta sama-sama kita berdoa kepada Allah semoga dijauhkan virus merbahaya ini dan ianya lenyap dari bumi Malaysia,” ujar Ustaz Rosli.

Ketiga-tiga pimpinan utama PAS Pahang ini turut berharap rakyat negeri ini tanpa ragu-ragu segera mendaftarkan diri secara sukarela untuk menerima suntikan vaksin ini menerusi aplikasi MySejahtera agar ikhtiar mengekang pandemik ini berjaya.

Pada program sama di peringkat kebangsaan yang diadakan pada 24 Februari lalu, selain Perdana Menteri, turut menerima suntikan adalah Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah serta beberapa kakitangan perubatan lain.

Vaksin COVID-19 yang tiba dengan kendalian MABkargo Sdn Bhd (MASKargo) ini meliputi tiga fasa melibatkan tempoh masa setahun dengan beberapa kategori pembahagian. – HARAKAHDAILY 27/2/2021