Katakan ‘tidak’ pada judi!

- Advertisement -

PAS Negeri Kedah berpandangan bahawa operasi kasino dan perjudian yang dibenarkan semula setelah tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hanya akan mengembalikan malapetaka buat rakyat dan negara.

- Advertisement -

Ekonomi negara tidak perlu terdesak untuk mengisi kantung kewangan dengan menghidupkan satu sektor perniagaan yang hakikatnya menyebabkan huru-hara dalam kehidupan rakyat. Firman Allah S.W.T:


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنْصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
“Wahai orang orang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, daan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”
(al-Maidah: 90)

Kejayaan utama sedang diusahakan bersungguh oleh kerajaan ketika ini adalah menyelamatkan nyawa rakyat yang berdepan risiko pandemik COVID-19. Begitu juga pelbagai Pakej Rangsangan Ekonomi yang diinisiatifkan, merupakan aspek sokongan kerajaan kepada hal berkaitan pemilikan harta rakyat. Kedua-duanya selari dengan Maqasid Syariah.

Tetapi dengan kerajaan menjana semula perolehan pendapatan menerusi judi, ia realitinya tidaklah menguntungkan atau memberi manfaat yang sebenar. Kerajaan mungkin mengutip cukai yang pasti, tetapi rakyat pemain judi menghadap sekadar kemungkinan. Majoriti yang berjudi hanya mempertaruhkan nasib semata. Ini bertepatan firman Allah S.W.T:

يَسْأَلُونَكَ عَنِ الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ ۖ قُلْ فِيهِمَا إِثْمٌ كَبِيرٌ وَمَنَافِعُ لِلنَّاسِ وَإِثْمُهُمَا أَكْبَرُ مِن نَّفْعِهِمَا
“Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: “Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya…”
(al-Baqarah: 219)

Bermakna, ia seolah-olah sebelah tangan kerajaan sedang membangunkan rakyat, tangan sebelah lagi meruntuhkan rakyat. Ini tidak harus terjadi dan ia hanya merosakkan segala agenda sedang pihak kerajaan sendiri inisiatifkan dalam kalangan rakyat.

Rakyat yang sedang terhimpit dan terdesak kita harus dipastikan berbelanja bagi tujuan yang kritikal perlu. Sedangkan perjudian hanya mengundang kembali rakyat berada dalam keadaan lebih gawat daripada itu.

Kita bimbang orang ramai menggunakan wang bantuan dari Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) oleh kerajaan atau pendapatan pendapatan lain untuk tujuan berjudi. Akhirnya menyebabkan mereka hilang wang untuk perbelanjaan harian.

Malah, aktiviti perjudian ketika tempoh kritikal seperti ini, hanya akan mengundang lebih banya kaedah yang dilakukan secara haram menurut peruntukan sedia ada. Akhirnya, hasil kepada kerajaan pun tidak ada, sebaliknya masalah di akar umbi rakyat pula makin besar.

Dengannya juga menyebabkan kos operasi dan tumpuan oleh pihak kerajaan menerusi penguat kuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) akan bertambah untuk membanteras sindiket perjudian ini.

PAS Negeri Kedah sekali lagi menegaskan pendirian yang konsisten bagi membantah seluruh aktiviti perjudian secara total.

Implikasi akibat aktiviti perjudian menyebabkan tekanan hidup, jenayah kecurian, masalah rumah tangga dan masyarakat adalah kebiasaan yang berlaku akibat kalah judi. Hakikatnya, judi hanya mengkayakan golongan ‘tauke’ dan sebahagian kecil sahaja bernasib baik.

Kepercayaan yang diberikan oleh rakyat bagi membenteras aktiviti perjudian ini perlulah dijalankan secara telus demi membenteras jenayah judi dalam menjaga kemaslahatan rakyat dan kesejahteraan Negara.

Oleh itu, PAS Negeri Kedah menyeru supaya semua pihak sama-sama berperanan dari menuding jari antara satu sama lain. Bersatu kita teguh bercerai kita roboh.

“Islam Memperkukuh Perpaduan”

USTAZ MOHD AZAM ABD SAMAT
Ketua Penerangan PAS Negeri Kedah
27 Febuari 2021 | 15 Rejab 1442

- Advertisement -