Jawatankuasa Teknikal Undang-undang Syarak dan Sivil

JAKIM sedia bersidang untuk penambahbaikan undang-undang kesalahan jenayah Syariah

- Advertisement -

SAYA mengambil maklum keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Persekutuan Malaysia pada 25 Februari 2021 dalam kes Iki Putra bin Mubarrak lawan Kerajaan Negeri Selangor dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) berkenaan keabsahan Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.

Penghakiman tersebut sudah pasti dibuat berdasarkan pengetahuan, pengalaman dan kebijaksanaan Yang Amat Arif dan Yang Arif Hakim-hakim Mahkamah Persekutuan berpandukan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang dalam mencari penyelesaian yang terbaik bagi maslahat semua pihak sama ada yang beragama Islam atau bukan-Islam.

Penghargaan ditujukan kepada Exco Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal Selangor, YB Mohd Zawawi Ahmad Mughni mewakili Kerajaan Negeri Selangor yang akan mengadakan perbincangan dengan pihak-pihak yang berkepentingan dan meneliti perkara tersebut bagi memperkasa perundangan syariah di Selangor. Ini satu tindakan proaktif yang wajar diberi pengiktirafan.

- Advertisement -

Fasal (1) Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan menjunjung Islam sebagai agama bagi Persekutuan, menjadikan kedudukan agama Islam di negara ini lebih istimewa berbanding agama Iain. Ini sepertimana yang telah diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan Malaysia dalam kes-kes terdahulu. Sebagai seorang Menteri yang dipertanggungjawabkan menjaga hal ehwal Islam di peringkat Persekutuan, prinsip Perlembagaan ini akan terus dijunjung dan dipertahankan.

Saya telah mengadakan perbincangan Penasihat Undang-undang, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi mendapatkan pandangan beliau berkenaan kesan dan implikasi perundangan yang berbangkit daripada keputusan Mahkamah Persekutuan Malaysia tersebut. Jawatankuasa Teknikal Undang-undang Syarak dan Sivil, JAKIM juga telah diarahkan untuk bersidang dan berbincang bagi melihat ruang penambahbaikan Undang-undang Syariah yang boleh dilaksanakan, khususnya yang berkenaan dengan kesalahan jenayah Syariah. Jawatankuasa tersebut akan berunding dengan negeri-negeri dan pihak yang berkepentingan dalam usaha untuk memperkasakan dan menyeragamkan Undang-undang Syariah di Malaysia.

Saya menyeru agar semua umat Islam di negara ini dan seluruh rakyat Malaysia menghormati penghakiman yang diputuskan dan tidak mencetuskan spekulasi dari penghakiman tersebut. Semua pihak diminta bertenang dan tidak memberikan ulasan atau pandangan yang boleh mencetuskan suasana yang tidak sihat, serta boleh menjejaskan perpaduan dan keharmonian dalam negara kita yang tercinta ini.

Marilah kita bersama-sama menginsafi diri dan berusaha untuk mengubah diri, keluarga dan masyarakat ke arah yang lebih baik, bagi memaknai erti sebenar etika dan moral berlandaskan Perlembagaan Persekutuan. Saya berdoa kepada Allah S.W.T agar kita diteguhkan dan terus bersatu padu dalam melaksanakan segala perintah-Nya, amin.

YB SENATOR DATUK DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI 
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)
27 Februari 2021 bersamaan 15 Rejab 1442H – HARAKAHDAILY 27/2/2021

- Advertisement -