Beberapa persoalan besar dalam kes Iki Putra

PENGHAKIMAN Mahkamah Persekutuan baru-baru ini dalam kes Iki Putra Mubarrak v. Kerajaan Negeri Selangor dan Majlis Agama Islam Selangor [2020] oleh panel sembilan hakim yang dianggotai oleh antara lain Ketua Hakim Negara dan Ketua Hakim Besar Malaya menimbulkan reaksi yang bercampur-baur dalam kalangan masyarakat.

Dari segi teknikal, persoalan utama dalam kes ini adalah berkenaan dengan kuasa DUN untuk membuat sebarang undang-undang jenayah Islam bagi perkara-perkara yang sudah disentuh atau digubal oleh Parlimen. Dalam konteks yang lebih spesifik, apakah cakupan Klausa Pengecualian iaitu Item 1, Senarai II, Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan (Senarai Negeri).

Berpandukan persoalan spesifik tersebut, Mahkamah Persekutuan secara asasnya, memutuskan bahawa seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah Selangor (1995) adalah peruntukan undang-undang yang dibuat secara tidak sah oleh Dewan Undangan Negeri Selangor (DUN Selangor) kerana bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, dan dengan yang demikian adalah TERBATAL.

Advertisement

Dalam kes ini, kesalahan dalam seksyen 28 Enakmen 1995 di peringkat negeri Selangor sudah wujud dan diperuntukkan di peringkat persekutuan dalam seksyen 377 dan 377A Kanun Keseksaan. Atas dasar itu, DUN Selangor tidak mempunyai bidang kuasa untuk menggubal s.28 tersebut. Malah, dalam penghakiman oleh Hakim Besar Mahkamah Malaya, cakupan kesalahan Syariah yang berada di bawah bidang kuasa DUN tertakluk hanya kepada kesalahan yang menyentuh aspek akidah, kesucian agama dan moral.

Maka, terdapat beberapa persoalan besar yang perlu diperhalusi kerana kesemuanya akan sangat mempengaruhi dan menentukan nasib serta kedudukan undang-undang jenayah Syariah selepas ini.

Pertama, apakah sebenarnya konteks kesalahan jenayah Syariah yang boleh digubal oleh DUN?

Biarpun terdapat definisi ringkas dalam penghakiman serta di dalam Perlembagaan Persekutuan, ia masih membuka banyak ruang interpretasi yang besar dan pelbagai. Lebih penting, konteks kesalahan dan jenayah Islam tidak hanya tertakluk kepada tiga cakupan sahaja dan kebanyakannya saling berkait dan rentas kategori.

Kedua, adakah ini bermakna kesemua peruntukan Enakmen Syariah di semua negeri akan perlu disemak untuk dipastikan bahawa kesalahan jenayah yang diperuntukkan di bawah enakmen-enakmen tersebut adalah harmoni dan tidak berada dalam cakupan/bidang kuasa Parlimen?

Ketiga, apakah yang akan berlaku kepada kesalahan jenayah Syariah yang berada di bawah cakupan Parlimen atau Senarai Persekutuan tetapi kita tidak mempunyai peruntukkan berkenaan dengannya di bawah undang-undang Persekutuan? Memandangkan DUN tidak boleh menggubal enakmen atau membuat peruntukan yang boleh menghukum perkara tersebut, adakah ini bermakna kesalahan jenayah Syariah tersebut boleh terus dilakukan secara bebas?

Sekiranya diteliti dengan lebih mendalam dan kritikal, adalah tidak pelik wujud kegusaran bahawa keputusan ini akan membangkitkan lebih banyak kekeliruan berhubung definisi undang-undang jenayah dan undang-undang jenayah syariah, …apakah perkara-perkara yang termasuk dalam Klausa Pengecualian, dan pelbagai implikasi yang melibatkan keharmonian Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil serta kedudukan Enakmen Negeri dan Perlembagaan Persekutuan.