Setahun kejatuhan PH

PN telah lakukan yang terbaik-Dr SAM

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Genap setahun Pakatan Harapan (PH) tumbang dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah melakukan yang terbaik.

Naib Presiden PAS, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, Perikatan Nasional mengambil kerajaan Pusat ini dari kedudukan yang sukar.

- Advertisement -

Katanya, kesukaran itu termasuklah dari sudut ekonomi, hubungan kaum dan wabak pandemik Covid-19.

“Ekonomi pun dalam keadaan yang sukar sebelum daripada ini. Banyak perkara-perkara yang dibatalkan dan sebagainya. Dalam masa yang sama, kita berdepan pula dengan pandemik.

“Jadi, pada saya dalam tempoh setahun ini kerajaan Perikatan Nasional telah melakukan yang terbaik, bagi mengeluarkan Malaysia daripada suasana yang tidak begitu harmoni pada tahun sebelum ini.

“Iaitu, semasa di awal tahun 2018 dan 2019. Jadi, (sekarang) saya rasa hubungan kaum ini berada dalam keadaan yang lebih baik.

“Jadi satu cabaran yang besar kepada kerajaan PN. Tapi, pada saya mereka telah menjalankan tugas yang terbaiklah,” jelasnya.

Beliau berkata demikian selepas Program Vaksinasi Covid-19, Peringkat Negeri Terengganu di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu, hari ini.

Hadir sama pada majlis itu, Timbalan Pesuruhjaya PAS III, Dr Alias Razak, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Alam Sekitar Negeri Terengganu.

Dato’ Seri Dr Samsuri juga ditanya mengenai hasrat Umno Terengganu mahu bertanding semua kerusi Dewan Undangan negeri (DUN) dan Parlimen, katanya itu hasrat parti masing-masing.

“Itu hasrat (parti) masing-masing dan pada saya, kita masih boleh bincang, sama ada di peringkat negeri mahupun di peringkat Pusat. Jadi, proses itu belum lagi berakhir.

“Dia ada formulanya, perlu kita pakai dalam perbincangan mengenai kerusi (pilihan raya) ini. Jadi, selagi belum berakhir kita boleh pertimbangkan apa juga kemungkinan. Tapi, tentulah mana-mana parti mereka akan mempertahankan status quo.

“Kedua, kita tengoklah kerusi-kerusi lain yang dimenangi oleh PH, yang boleh kita runding siapa yang lebih sesuai untuk bertanding atas faktor tertentu dan kebolehmenangan.

“Kita mahu mencapai (kemenangan) yang maksima pada PRU yang akan datang ini,” tegasnya.

Menurutnya, semua pihak parti perlu bertolak ansur dalam rundingan kerusi pilihan raya sama ada Umno, Bersatu mahupun PAS. – HARAKAHDAILY 26/2/2021

- Advertisement -