“Sakit lagi kena gigitan semut” – Dr Samsuri

Foto hiasan.
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, menjadi individu pertama yang menerima suntikan vaksinasi Covid-19 di negeri ini.

Beliau menerima suntikan vaksin Pfizer-BioNTech itu kira-kira jam 4.05 petang bersama Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Terengganu, Dato’ Mohd Zahari Md Azahar dan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak.

- Advertisement -

Katanya, rakyat tidak perlu takut dengan suntikan vaksin Covid-19 kerana itu proses biasa yang dilakukan seperti yang lain.

“Suntikan jarum vaksin itu proses biasa sahaja dan lebih sakit lagi jika terkena gigitan semut. Jarum sahaja, dari segi vaksin yang masuk dalam badan itu rasa tidak ada apa-apa rasa kesukaran untuk kita.

“Patut semua rakyat yang akan menerima dos masing-masing tidak rasa takut dan sepatutnya, teruja untuk menanti saat masing-masing,” ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas Program Vaksinasi Covid-19, Peringkat Negeri Terengganu di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu, hari ini.

Dr Samsuri turut memaklumkan, suntikan dos kedua vaksin Covid-19 itu akan dilakukannya pada 19 Mac 2021 ini.

Ketika ditanya, bilakah suntikan vaksin kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lain, katanya perkara itu sedang diatur dan akan dihubungi melalui pendaftaran MySejahtera.

Semalam, Terengganu menerima penghantaran sebanyak 16,330 dos vaksin untuk frontliners bagi seluruh negeri ini.

Hadir sama pada majlis itu, Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus. – HARAKAHDAILY 26/2/2021

- Advertisement -