Rakyat terima baik pengambilan vaksin

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pengambilan vaksin merupakan tanggungjawab semua pihak, termasuk orang ramai bagi memastikan immunti berkelompok (herd immunity) dapat dibentuk.

Pengerusi Majlis Penasihat Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA), Dr Suhazeli Abdullah berkata, ia merupakan langkah terbaik untuk mencegah Covid-19 di samping menjaga keselamatan rakyat di negara ini.

Beliau berkata, melihat pola peningkatan kes baharu, pengambilan vaksin adalah sesuatu tindakan yang sangat wajar.

Malah katanya, ia adalah tanggungjawab bersama bagi memastikan negara boleh bergerak ke hadapan sekali gus mengecapi kemajuan dan kemakmuran.

- Advertisement -

“Kita kena berjuang bersama-sama pihak kerajaan bagi melandaikan lagi kes positif Covid-19 di negara kita,” ujarnya ketika dihubungi HarakahDaily hari ini.

Dalam pada itu, apabila ditanya tentang penerimaan rakyat terhadap vaksin ini, Suhazeli mendapati bahawa ramai dalam kalangan masyarakat sudah mampu menerima vaksin dengan baik.

“Rata-rata saya mendapati bahawa ramai dalam kalangan masyarakat sudah mempunyai maklumat dan berpuas hati dengan apa yang telah dirancang dan apa yang telah dibentangkan oleh kerajaan dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan baru-baru ini,” ujarnya dengan harapan negara akan kembali seperti sedia kala.

Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dilaksanakan dalam tiga fasa bermula 24 Februari lalu, dengan fasa satu dari Februari hingga April 2021 untuk kumpulan petugas barisan hadapan melibatkan 500,000 orang.

Fasa dua pula dari April hingga Ogos membabitkan kumpulan warga emas berumur 65 tahun ke atas, golongan berisiko tinggi serta orang kurang upaya melibatkan 9.4 juta orang.

Manakala fasa tiga dari Mei 2021 hingga Februari 2022 untuk penduduk di Malaysia berumur 18 tahun ke atas warganegara dan bukan warganegara dengan sasaran lebih 13.7 juta orang. – HARAKAHDAILY 26/2/2021

- Advertisement -