Patuhi SOP suntik vaksin

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Orang ramai diseru senada dengan keputusan Majlis Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam bersabit Covid-19 yang ditetapkan harus baru-baru ini.

Ketua Penerangan PAS Malaysia, Kamaruzaman Mohamad ketika dihubungi HarakahDaily hari ini berkata, rakyat perlu memberikan sepenuh sokongan kepada kerajaan melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan bagi membebaskan negara daripada Covid-19.

- Advertisement -

Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dilaksanakan dalam tiga fasa bermula 24 Feb lalu, dengan fasa satu dari Februari hingga April 2021 untuk kumpulan petugas barisan hadapan melibatkan 500,000 orang.

Sementara itu, Kamaruzaman mengingatkan kepada seluruh petugas barisan hadapan agar dapat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) berhubung suntikan fasa pertama yang melibatkan kluster itu.

“PAS berharap supaya natijah daripada usaha kerajaan ini dapat menangani wabak Covid-19 serta memberikan kesan maksimum kepada negara bagi membebaskan kita semua daripada wabak itu.

“PAS turut mendukung sepenuhnya usaha kerajaan melalui program imunisasi ini sebagai salah satu langkah sistematik bagi memerangi pandemik Covid-19.” katanya.

Dilaporkan Berita Harian, seramai 571,802 petugas barisan hadapan mendaftar bagi mendapatkan imunisasi Covid-19 setakat 20 Februari lalu.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin, berkata sebanyak 57.3 peratus daripada jumlah itu terdiri dalam kalangan anggota perubatan dan kesihatan, iaitu 39.8 peratus daripada Kementerian Kesihatan dan 17.5 pegawai perubatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta agensi lain.

Katanya, baki 42.7 peratus terdiri daripada anggota bukan kesihatan seperti ATM, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Jabatan Penjara Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KASTAM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan lain-lain. – HARAKAHDAILY 26/2/2021

- Advertisement -