Kerajaan prihatin dan sejahtera

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) sentiasa menguar-uarkan tidak berkemampuan semasa ia menjadi kerajaan berbanding kerajaan Perikatan Nasional (PN) lebih fokus dan serius kepada agenda membantu rakyat, mensejahterakan, keselamatan serta prihatin terhadap rakyat.

Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Mohd Zai Mustafa berkata ia terbukti dengan banyaknya bantuan dan sokongan melalui bajet bantuan khas yang diwujudkan bagi membantu meringankan beban rakyat.

“PH sering meratibkan dengan bebanan hutang tinggi, tidak mempunyai simpanan kewangan dan akan bengkrap serta tidak mampu membantu rakyat,” katanya ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.

Mohd Zai diminta mengulas genap setahun kejatuhan PH selepas Tun Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan sebagai Perdana Menteri pada 24 Februari 2020.

- Advertisement -

Sementara itu, kata beliau, Perikatan Nasional mewujudkan kerajaan yang lebih stabil dengan menjaga sensitiviti kaum, agama dan bangsa.

“PN memperkukuhkan perpaduan dan keharmonian rakyat dengan polisi yang meyakinkan rakyat secara keseluruhan berbanding kerajaan PH yang banyak menimbulkan banyak perkara yang meresahkan dengan menimbulkan perkara sensitiviti dikalangan rakyat,” ujarnya.

Di samping itu Mohd Zai turut menyifatkan kerajaan yang ada pada hari ini sentiasa bergerak di atas landasan Undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.

“Kerajaan PN menjaga pancang-pancang utama kenegaraan seperti Islam agama persekutuan, bahasa kebangsaan, institusi raja, hak Melayu Bumiputera tanpa meminggirkan kontrak sosial dan hak kaum minoriti yang lain berbanding kerajaan PH yang lepas,” katanya.

Menurut beliau, kerajaan PN telah menunjukkan tanggungjawab dan komitmen yang sangat tinggi membantu rakyat bagi menyelesaikan pandemik Covid-19.

“Kerajaan telah menyediakan peruntukan yang besar kepada program imunisasi vaksin negara iaitu vaksin Covid-19 sehingga mendapat perhatian dan contoh kepada negara lain.

“Pada masa sama peka mendengar keluhan rakyat, pemimpin masyarakat dan NGO dengan melaksanakan program secara libat urus bersama kementerian serta agensi kerajaan.

“Secara umumnya, boleh dikatakan kerajaan PN pimpinan Tan Sri Muhyiddin sebagai Perdana Menteri terbukti telah berjaya mendapat sokongan yang besar daripada rakyat berdasarkan banyak kajian yang telah dibuat oleh pelbagai pihak berbanding PH,” katanya. – HARAKAHDAILY 26/2/2021

- Advertisement -