Harap gangguan bekalan air selesai sebelum Aidilfitri

Amzad dan Ahmad Shah (kanan) melihat bahagian mesin yang sedang dibaiki kerana mengalami masalah teknikal.
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Masalah gangguan bekalan air berlaku di seluruh negara, yang perlu diatasi bagi menyelesaikan masalah rungutan rakyat setiap hari.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Dato’ Ahmad Amzad Hashim berkata, gangguan bekalan air rakyat bukan perkara baru tetapi masalah lama yang perlu diselesaikan bersama di semua peringkat.

“Saya menerima rungutan ramai (pengguna) kerana (gangguan) kali ini agak kerap sedikit akhir-akhir ini, melibatkan banyak kampung di DUN (Dewan Undangan Negeri) Wakaf Mempelam, DUN Bandar, DUN Batu Buruk, DUN Ladang dan ramai yang terjejas.

“Kunjungan saya hari ini, dapat melihat sendiri secara fizikal apa permasalahan dan langkah yang sedang diambil oleh pihak SATU (Syarikat Air Terengganu) untuk penyelesaian jangka pendek.

- Advertisement -

“Hari ini, kita dapat melihat rancangan jangka panjang (bina baru) yang sedang dalam proses pelaksanaan,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Beliau berkata demikian ketika kunjungannya bersama Timbalan Exco Kerajaan Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ustaz Ahmad Shah Mohamed di Loji Rawatan Air Kepong I, Kuala Terengganu, hari ini.

“Masalah bekalan air kita di Terengganu ini bukan baru tetapi masalah lama. Kita ada masalah dengan sistem pempaipan di seluruh negeri.

“Bila kita selesai masalah rumah pam, masalah pempaipan juga kena selesai. Ini memerlukan gerak kerja dari kita semua untuk mendapatkan peruntukan-peruntukan seperti mana sepatutnya yang diperlukan.

“Pihak kerajaan negeri telahpun mengambil penjalanan dengan masalah ini. Saya di peringkat Persekutuan akan cuba menyelaraskan untuk sama-sama kita cuba selesaikan masalah ini,” jelasnya yang juga Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.

Amzad dan Ir Atemin meninjau Kawasan Loji Rawatan Air Bersih Kepong, Kuala Terengganu.

Menurut beliau, masalah pengoperasian rumah pam air bersih yang berusia 40 tahun di Loji Rawatan Air Kepong wajar diberi perhatian oleh kerajaan.

“Ini berikutan kegagalan beberapa pam air yang berkait dengan masalah teknikal, yang sedang di atasi, insya-Allah.

“Satu perkara yang ingin saya kongsikan di sini, rumah pam air bersih yang sedia ada ini telah berusia 40 tahun. Spesifikasinya adalah pada masa ketika itu.

“Sekarang ini, Kuala Terengganu merupakan kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk paling tinggi di seluruh negeri Terengganu,” jelasnya.

Kata Amzad, rakyat Terengganu sekarang dalam lingkungan 1.2 juta orang dan 45 peratus daripadanya berada di daerah Kuala Terengganu.

“Rumah Pam Air Bersih ini terbahagi kepada dua iaitu untuk bekal air di kawasan Marang dan sebahagian lagi di kawasan Kuala Terengganu.

“Sekarang sedang dibina bangunan baru untuk membina Rumah Pam Air Bersih yang baharu, dengan sistem yang baru ini sedang disiapkan.

“Saya minta jika boleh dapat disiapkan sebelum menjelang hari raya (Aidilfitri) ini. Jadi, dengan adanya rumah pam air yang baharu itu kelak dapat menyelesaikan masalah berkait dengan tekanan air rendah,” ujarnya.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif, Syarikat Air Terengganu (SATU), Ir Atemin Sulong, Pegawai Khas Hal Ehwal Bukan Islam Pejabat Menteri Besar Terengganu, Dr Balachandran Gopal Krishnan, Pembantu Khas Parlimen (DUN) Bandar, SM Suhaimi Syed Mohamad serta Ahli Majlis Kuala Terengganu, Encik Khairuddin. – HARAKAHDAILY 26/2/2021

- Advertisement -