‘Bilik rumah kita lebih besar dari teratak mereka’

Razman meninjau keadaan sebuah rumah yang dilawati.
- Advertisement -

MENYELAMI kehidupan golongan asnaf mengundang pelbagai reaksi antara hiba, sedih dan kagum dengan ketabahan mengharungi cabaran hidup bercampur-baur antara kasihan dan simpati setelah melihat realiti yang dilalui oleh mereka.

Ada yang tinggal menumpang di atas tanah orang lain, ada yang terpaksa berpindah ke sana ke sini kerana tidak mampu membayar sewa dan ada pula yang terpaksa berhimpit beberapa keluarga di dalam satu rumah kerana tiada tempat lagi untuk dituju.

Hakikat kehidupan tersebut dirasai sendiri oleh Ahmad Ghani sekeluarga yang tinggal di Parit Haji Taib 3. Rumah kecil dibina atas tanah bukan milik menjadi tempat berteduh bersama isteri dan enam orang anaknya.

Ahmad yang hanya bekerja sebagai operator pengeluaran di sebuah kilang mengakui tidak mampu untuk mendapatkan tempat lain yang lebih selesa.

Anak-anak masih bersekolah di samping tanggungjawab melunaskan hutang yang pernah dibuat pada masa lalu membuatkan beliau pasrah dengan keadaan.

- Advertisement -

Berjimat cermat dan membeli sekadar keperluan sudah menjadi rutin demi tanggungjawab lebih penting untuk membesar dan menyekolahkan anak-anaknya.

Di suatu sudut lain pula keluarga Mohamad Izzhar Abdullah, 33, yang tinggal di Kampung Balik Bukit, Bukit Merah turut bergelut dengan situasi yang tidak jauh berbeza.

Menurut isterinya, Nurizatul Akma, mereka pernah tinggal menyewa di tempat lain namun kesempitan memaksa mereka berpindah kerana tidak mampu untuk membayar sewa.

Suaminya bekerja sebagai nelayan darat dengan pendapatan yang tidak menentu memaksa mereka untuk memilih tinggal di rumah yang lebih rendah kadar sewanya walaupun dilihat terlalu kecil untuk menampung lapan sekeluarga ini.

Lima anak yang masih bersekolah dan seorang lagi baru berumur sekitar lapan bulan mengorak usaha si isteri untuk turut berjuang di pentas kehidupan dengan jualan serunding halia bagi menambah pendapatan.

Telatah anak-anaknya yang masih kecil bermain di halaman rumah turut mengundang persoalan bagaimana mereka mampu meneruskan kehidupan dalam keadaan begini.

Sesiapa yang melihat pasti diruntun hiba. Masakan tidak, apabila mengenangkan bilik di rumah kita lebih besar dari teratak didiami oleh mereka.

Perasaan yang menyelubungi segera menerbitkan keinsafan dalam diri betapa kita harus bersyukur dengan nikmat yang dianugerahkan oleh Allah kepada kita.

Rencah kehidupan menghidangkan pelbagai tatapan. Di Parit Gabis Bawah seorang ibu tua ‘angah Arbaiyah’ yang sudah uzur berkongsi rumah dengan tiga anaknya yang sudah berkeluarga. Hanya dinding bilik dan tirai menjadi pemisah sementara bilik air dan dapur dikongsi bersama.

Bahagia pasti tidak selamanya dan menderita pun ada akhirnya. Begitulah resam dunia. Langit tidak selalu kelam, mendung tidak bererti hujan. Kemarau pasti berakhir, fajar menyingsing, sinar pun menjelma. Kehidupan dilalui tiga keluarga ini akhirnya mendapat perhatian ADUN Gunung Semanggol, Haji Razman Zakaria.

Diiringi rombongan dari NGO Muslim Care diketuai Timbalan Presiden, Haji Mohd Johari Ismail kunjungan bersama dilakukan bagi mengenal pasti bentuk bantuan yang boleh diberikan kepada mereka.

Razman yang sebelum ini tular dengan pembelian sebidang tanah bagi diwakafkan kepada asnaf yang memerlukan untuk tapak pembinaan rumah, segera mengarahkan pegawainya untuk menyenaraikan tiga keluarga tersebut sebagai penerima terawal bagi penerimaan tapak di atas tanah yang dibeli.

Sementara itu, Johari turut menyatakan komitmen sebagai satu tanggungjawab masyarakat untuk bekerjasama dengan pihak Razman menyumbang dalam bentuk kewangan bagi merealisasikan hasrat pembinaan rumah kepada golongan memerlukan.

Menurutnya lagi, hari ini bukan pertama kali pihaknya menjejak kaki di Bagan Serai malahan sebelum ini turut menyumbang untuk projek baik pulih sebuah rumah asnaf di Kampung Selamat dengan bantuan kewangan berjumlah RM30,000 dan rumah asnaf di Kampung Alor Kubu berjumlah RM9,000.

Selain itu, pihaknya turut menyumbang bukan sahaja di Perak malahan di seluruh negara termasuk bentuk-bentuk bantuan lain seperti barangan elektrik perkakas kesihatan dan lain-lain.

Kunjungan turut menyaksikan penyerahan sumbangan barangan keperluan dan sumbangan tunai kepada keluarga tersebut. Program diakhiri dengan lawatan ke tapak lot tanah yang dibeli oleh Razman di Kampung Alor Singa yang terletak berhampiran dengan pekan Bagan Serai.

Turut hadir Ketua Lajnah Kebajikan PAS Kawasan, Haji Ahmad, Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan, Puan Hajah Rohaya, Pengerusi JPKK Parit Haji Taib, Encik Azhar dan Pengerusi JPKK Parit Gabis, Encik Zulkafli Dahari. – HARAKAHDAILY 26/2/2021

- Advertisement -