Usah terpengaruh elemen negatif terhadap vaksin

KOTA BHARU: Orang ramai dinasihat tidak terpengaruh dengan kenyataan negatif berkaitan vaksinasi yang tular di media sosial.

Timbalan Exco kerajaan negeri, Rohani Ibrahim berkata program vaksinasi merupakan kaedah terbaik yang dilaksanakan kerajaan bagi mengawal penularan Covid-19.

Menurutnya, pemimpin tertinggi negara sendiri menjadi kumpulan pertama yang menerima suntikan vaksin semalam.

“Langkah yang dibuat Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yasin menjadi orang pertama disuntik vaksin Covid-19 boleh memberi contoh terbaik kepada rakyat.

Advertisement

“Begitu juga Menteri Besar Kelantan, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob juga bersedia menjadi kumpulan pertama di Kelantan menerima suntikan vaksin,” ujarnya ketika ditemui pada program menziarahi penduduk yang terlantar sakit di Dun Tanjung Mas semalam.

Kajian dalam talian yang dilakukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum ini mendapati ada pihak tidak setuju menerima suntikan vaksin.

Menteri Kesihatan Dato’ Seri Dr Adham Baba dilapor berkata, sebanyak 67 peratus responden bersetuju mengambil vaksin Covid-19, tidak pasti (17 peratus) dan tidak bersetuju (16 peratus).

Rohani yang juga Adun Tanjung Mas berkata, orang ramai jangan mudah terpengaruh dengan pihak tertentu yahg menolak vaksin kerana ia boleh memberi lebih banyak mudarat.

“Orang ramai harus berfikiran positif apa lagi perkara itu bukan hanya dilakukan di Malaysia sebaliknya seluruh dunia.

“Telah banyak bukti menunjukkan kesan positif terhadap penerima vaksin Covid-19 setakat ini,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 25/2/2021