Sekarang darurat kesihatan, bukan era komunis

- Advertisement -

BACHOK: Darurat yang diisytiharkan kerajaan sekarang bukan seperti zaman komunis dahulu, kata Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Ustaz Nik Abduh Nik Abdul Aziz.

Beliau berkata, proklamasi darurat yang diisytiharkan bermula 11 Januari lepas hanya sekadar darurat kesihatan.

Katanya, sehingga sekarang hampir genap setahun Malaysia turut terpalit dengan pandemik Covid-19 yang meragut jutaan nyawa di seluruh dunia.

“Cuma yang tinggal lagi ialah bagaimana kita hendak menyatukan suara-suara rakyat supaya mereka bersama-sama menangani wabak ini dengan mematuhi SOP yang ditetapkan pihak berkuasa.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Penerangan kerana melaksanakan inisiatif memberi penjelasan kepada rakyat,” katanya selepas program Gerak Tumpu Info On Wheels (IOW) Proklamasi Darurat dan Kempen Pematuhan SOP bagi Daerah Bachok di sekatan jalan raya di Kampung Budi di sini, semalam.

- Advertisement -

Turut hadir Adun Tawang, Dato’ Hassan Mohamood; Adun Pantai Irama, Mohd Huzaimy Che Husin dan Pengarah Jabatan Penerangan (JaPen) Kelantan Azhar Ismail.

Nik Abduh yang juga Ahli Parlimen Bachok berkata, program Info on Wheels dijalankan Jabatan Penerangan Kelantan mampu merungkai kesangsian orang ramai terhadap pelaksanaan proklamasi darurat yang diumumkan kerajaan.

Katanya pegawai JaPen memberi kefahaman kepada masyarakat mengenai kepentingan proklamasi sehingga menyebabkan pematuhan prosedur operasi standar (SOP) rakyat semakin meningkat.

“Usaha Jabatan Penerangan menggandakan usaha memberi info kepada rakyat mengenai kewajipan kita bersama mematuhi segala peraturan yang ditetapkan bagi menyekat penularan wabak Covid-19,” ujarnya.

Pada 11 Januari lepas, Yang di-Pertuan Agong memperkenankan tempoh pelaksanaan darurat hingga 1 Ogos 2021 atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika kes positif pandemik Covid-19 harian dapat dikawal dengan berkesan. – HARAKAHDAILY 25/2/2021

- Advertisement -