Perjuangan martabatkan Syariah pasti lebih bersemarak

Susulan Mahkamah Persekutuan putuskan peruntukan undang-undang berkaitan seks luar tabii dalam Enakmen Jenayah Syariah Selangor sebagai tidak sah

- Advertisement -

PENGISYTIHARAN Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 sebagai tidak sah kerana bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan secara sebulat suara oleh sembilan panel hakim Mahkamah Persekutuan pada 25 Februari sebenarnya tidaklah terlalu mengejutkan bagi saya.

Ini kerana perkara sebegini telah lama diperkatakan oleh mantan Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad, yang seringkali menyebut mengenai beberapa kesalahan dalam jenayah hudud tidak boleh dilaksanakan kerana berada di bawah bidang kuasa Persekutuan.

Disebutkan betapa pihak yang mahu melaksanakannya hendaklah meminta ihsan Kerajaan Persekutuan menggunakan Perkara 76A (1) Perlembagaan Persekutuan bagi memberi kuasa kepada DUN membuat undang-undang mengenai perkara di bawah Senarai Persekutuan.

- Advertisement -

Masih saya ingat tatkala Menteri di Jabatan Perdana Menteri Kerajaan BN, Datuk Seri Jamil Khir Baharum, memberi jaminan terbuka di Parlimen bahawa Kerajaan Persekutuan akan memberi laluan kepada PAS untuk melaksanakan hudud di Kelantan pada 27 Mac 2014.

Jawapan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, pada 2 April 2014 adalah bahawa Kerajaan Kelantan akan segera mengemukakan Rang Undang-undang Persendirian bagi mendapat kebenaran melaksanakannya seperti yang diperuntukkan oleh Perkara 76A (1).

Bila hukuman liwat di dalam Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 tidak sah, maka pastilah hukuman liwat di dalam Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Terengganu 1423H/2002M dan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 (2015) Kelantan juga tidak sah.

Di dalam Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Terengganu 1423H/2002M, selain Liwat (Seksyen 14), Sariqah(Seksyen 19), Hirabah (Seksyen 22), Qatlul-Al-‘Amd (Seksyen 29), Qatlul-Syibhu-Al-‘Amd (Seksyen 33) dan Qatlul-Al-Khata’ (Seksyen 35) mungkin tidak sah.

Samalah dengan Liwat (Seksyen 14), Sariqah (Seksyen 6), Hirabah (Seksyen 9), Qatlul-Al-‘Amd (Seksyen 26), Qatlul-Syibhu-Al-‘Amd (Seksyen 30) dan Qatlul-Al-Khata’ (Seksyen 32) di dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 (2015) Kelantan yang mungkin tidak sah.

Selain itu, Seksyen 2 Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 (2015) Kelantan juga memperuntukkan “kanun ini hendaklah terpakai ke atas tiap-tiap orang Islam yang mukalaf bagi apa-apa kesalahan di bawah kanun ini yang dilakukan olehnya dalam Negeri Kelantan”.

Masalah timbul bila mana Hakim Besar Malaya, Tan Sri Dato’ Sri Azahar Mohamed, menulis pada para 22 ke para 24 penghakimannya mengenai betapa Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 bercanggah dengan Perkara 8 (2) Perlembagaan Persekutuan.

Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 hanya terpakai kepada orang Islam sedangkan Perkara 8 (2) menyebut “tidak boleh ada diskriminasi terhadap warganegara semata-mata atas alasan agama, ras, keturunan, tempat lahir atau jantina dalam mana-mana undang-undang”.

Oleh itu, kalaupun Kerajaan Persekutuan menggunakan Perkara 76A (1) Perlembagaan Persekutuan bagi memberi kuasa kepada DUN membuat undang-undang mengenai mana-mana aspek jenayah Islam yang sedia ada dalam Kanun Keseksaan ia tetap tidak akan sah.

Untuk mengatasi permasalahan ini maka saya menyokong saranan sahabat-sahabat saya seperti Datuk Zainul Rijal dan Dr Fathi untuk mengarusperdana syariah di dalam erti kata memastikan undang-undang jenayah yang berkuatkuasa dalam negara mempunyai ciri pematuhan syariah.

Saya yakin keputusan Mahkamah Persekutuan yang menyempitkan bidang kuasa Mahkamah Syariah ini tidak akan sama sekali menjadikan para pejuang di dalam parti dan NGO Islam patah hati sebaliknya akan memarakkan lagi semangat mereka untuk memartabatkan syariah.

DR KAMARUL ZAMAN HAJI YUSOFF – HARAKAHDAILY 25/2/2021

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -