Parlimen tidak digantung selari undang-undang

Susulan kenyataan rasmi Istana Negara 24 Februari

- Advertisement -

KENYATAAN Istana Negara pada 24 Februari 2021 jelas menunjukkan bahawa SPB Yang di-Pertuan Agong bertindak memperkenankan Proklamasi Darurat bukan didorong oleh sokongan kepartian kepada mana-mana pihak.

Penegasan bahawa Baginda bersedia untuk memanggil sidang Parlimen jika keadaan mengizinkan dan dinasihati oleh Perdana Menteri (PM), menjelaskan hasrat sebenar ialah untuk menangani penularan wabak COVID-19.

- Advertisement -

Semua pihak harus sedar bahawa YDPA mempunyai kewajipan di bawah sumpah Baginda seperti Jadual IV Perlembagaan Persekutuan yang berbunyi ‘Dan lagi kami berikrar mengaku dengan sesungguh dan dengan sebenarnya memeliharakan pada setiap masa agama Islam dan berdiri tetap di atas pemerintahan yang adil dan aman di dalam negeri’. 

Kenyataan media Istana Negara bertarikh 12 Januari 2021 begitu jelas menunjukkan YDPA telah merundingi banyak pihak berwibawa, malah pada permintaan kali pertama bagi perisytiharan Darurat oleh Jemaah Menteri, Baginda tidak memperkenankannya.

Dalam Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 yang diwartakan pada 14 Januari 2021, tiada peruntukan yang menggantung Parlimen atau tegahan mengadakan pilihan raya. Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 hanya menggantung kuat kuasa peruntukan yang menyentuh batasan masa untuk memanggil persidangan Parlimen dan diadakan suatu pilihan raya. 

Dalam tempoh Darurat yang diisytiharkan sehingga 1 Ogos 2021, Parlimen boleh dipanggil oleh YDPA dan Pilihan Raya Umum boleh diadakan pada tarikh sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh YDPA. Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 menggariskan dengan jelas objektifnya untuk mengadakan kuasa tambahan seperti termaktub dalam Seksyen 17 yang berbunyi, ‘Bagi tempoh Darurat berkuat kuasa, kuasa yang diberikan di bawah Ordinan ini adalah tambahan kepada, dan bukanlah sebagai menggantikan, kuasa yang diberikan oleh atau di bawah mana-mana undang-undang bertulis lain yang sedang berkuat kuasa’. 

Sekiranya terdapat mana-mana peruntukan dalam undang-undang bertulis termasuklah Perlembagaan Persekutuan yang hendak digantung sementara kuat kuasanya, maka peruntukan khas yang dimaksudkan sedemikian akan dinyatakan secara jelas dalam Ordinan tersebut. Hal seperti tersebut dapat dilihat dalam beberapa peruntukan di bawah Seksyen-seksyen 12, 13, 14 dan 15 Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021.

Subseksyen 12(4) dipetik untuk menunjukkan contoh peruntukan khas itu, iaitu, ‘Bagi mengelakkan keraguan, selama tempoh Darurat berkuat kuasa, Fasal (3) Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan hendaklah mempunyai kesan seolah-olah perkataan ‘selama lima tahun dari tarikh mesyuarat pertamanya dan selepas itu adalah terbubar’ telah dipotong’.

Ringkasnya, perkenan YDPA bagi Proklamasi Darurat dan penggubalan ordinan tersebut jelas tidak menggantung sidang Parlimen. Oleh kerana Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan tidak disentuh oleh Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 maka pertimbangan untuk memanggil sidang Parlimen adalah terletak pada Perdana Menteri untuk menasihati Baginda. 

Kenyataan terbaharu Istana Negara itu sewajarnya diberi perhatian sewajarnya oleh Jemaah Menteri. Di samping itu, perlu dinyatakan bahawa YDPA sudah memperkenankan penubuhan Jawatankuasa Khas Bebas untuk meneliti dan memantau situasi Darurat pada masa kini.

Jawatankuasa Khas Bebas tersebut bukan sahaja berfungsi untuk menyampaikan nasihat kepada YDPA mengenai tempoh Darurat, malah platform untuk mengukur ketelusan Kerajaan dalam membuat tindakan penting, termasuklah kewajaran menasihati YDPA untuk memanggil sidang Parlimen. Dalam pada itu, ordinan boleh digubal untuk melaksanakan sidang Parlimen dalam bentuk dan prasarana yang sesuai buat waktu ini.

DATUK DR WAN AHMAD FAUZI WAN HUSAIN
Pengasas Jurispruden Watan merangkap Profesor Madya Fakulti Pengurusan Industri, UMP – HARAKAHDAILY 25/2/2021 

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -