MN bukan muafakat biasa, tidak terliur janji DAP

ADA orang bertanya kepada saya, masih relevankah Muafakat Nasional (MN) sedangkan sudah ada desas-desus yang Umno akan berpelukan dengan DAP dan Anwar.

Saya jawab, Muafakat antara PAS dan Umno yang termeterai pada September 2019 itu bukan muafakat biasa. Bukan muafakat kerana PAS ghairah nak berkuasa dan Umno geram nak balas dendam atas kekalahannya dalam PRU14 yang lalu. Muafakat PAS dan Umno dalam MN adalah muafakat yang muncul atas kesedaran bersama bahawa ummat Melayu Islam ini tidak boleh lagi terus berpecah dan bertelagah. 

Sampai masanya satu ikatan Melayu Islam perlu dibentuk sesuai dengan suruhan Allah di dalam al-Quran. Di samping menyedari kesan buruk daripada perpecahan itu ialah munculnya kuasa politik bukan-Islam yang mengancam agama Islam dan orang Melayu. Hakikat itu sudah terbukti seawal  PH-DAP memenangi pilihan raya. Apabila muafakat itu demi agama dan persaudaraan ianya akan terus relevan sampai bila-bila. Dan jangan ada tangan yang cuba merombaknya.

Advertisement

Soal ada desas-desus yang mengatakan Umno mula berminat kepada DAP dan akan meninggalkan MN, itu tidak pernah menjadi ‘peluntur’ kepada kesegaran muafakat ini yang didukung penuh oleh ahli-ahli PAS dan Umno di seluruh negara. Kalau pun ada yang terliur kepada DAP dan PH itu hanyalah tindakan individu bukan keputusan Umno. Jika ada individu yang berkepentingan, itu kita tak dapat halang. Sebagaimana dalam PAS pernah ada individu yang ‘menitik air liur’ dengan janji-janji DAP. Itu keghairahan kelompok kecil yang kemudiannya tertubuhnya PAN. Perkembangan itu bukannya menggambarkan hasrat PAS secara keseluruhan. Buktinya mereka diterajang keluar oleh ahli-ahli PAS melalui jendela Muktamar 2015.

Walaupun banyak pihak cuma memburukkan Umno, kononnya Umno dah pilih PH dengan harapan PAS meluat untuk bersama Umno dan ada cubaan yang memburuk-burukkan PAS kononnya PAS akan meninggalkan MN kerana sudah sangat selesa dengan PN agar Umno hilang kepercayaan kepada PAS, namun perkara seperti itu bagi saya tidak perlu dilayan. Sepatutnya sebagai pemain politik yang matang kita abaikan suara-suara individu walaupun ia ahli parti. Yang penting kedua-dua parti Melayu Islam yang terbesar ini terus mengukuhkan muafakat dengan semakin memperbanyakkan program bersama. 

Walau apapun yang berlaku dalam PN dan MN, Umno, PAS dan BERSATU jangan sekali-kali mengambil sikap mahu bersendiri. Kerana tiada siapa yang akan menang dan menjadi kerajaan jika bersendiri. Kecuali keluar dari PN atau MN, dan menjual diri dengan harga yang murah kepada DAP dan PH. 

Mari kita berpakat baik-baik, jika mahukan ummat Melayu Islam terus berkuasa dan DAP atau PH dinafikan di Parlimen. Kalau niat kita ikhlas Allah akan membantu dan memberikan pertolongan yang besar kepada kerajaan ini. Lepas itu jaga perpaduan ini baik-baik. Jangan ada siapa nak jadi ‘Abang Long’ kepada siapa. Kerana siapa pun yang jadi Abang Long dia tetap tidak akan mampu hidup sendiri tanpa Abang Ngah Dan Abang Chik. Pembahagian kerusi setiap parti akan memerlukan dua parti rakannya, tujuannya agar tidak berlaku dominasi yang memburukkan gabungan dan kerjasama.

Untuk tujuan itu kita hendaklah terus melangkah dengan nawaitu yang ikhlas demi agama, bangsa dan negara yang tercinta. Jangan letakkan kepentingan diri lebih utama dari perjuangan ini.

USTAZ MOKHTAR SENIK
Ahli Jawatankuasa Kerja
PAS Pusat – HARAKAHDAILY 25/2/2021