MB Kelantan sedia terima suntikan vaksin Covid-19

KOTA BHARU: Ketibaan kumpulan pertama bekalan vaksin Covid-19 sebanyak 18,720 dos memberi sinaran dan harapan kepada seluruh rakyat Kelantan.

Menteri Besar, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, beliau bersedia sepenuhnya untuk menerima suntikan tersebut yang dijadualkan diadakan di Dewan Utama, Kompleks Kota Darul Naim 2 Mac ini.

Oleh itu, beliau berharap rakyat Kelantan turut bersedia menerima suntikan vaksin dengan berdaftar segera melalui aplikasi MySejahtera.

“Kita harap rakyat Kelantan tidak berkecuali dan daftar lebih awal untuk menerima vaksin. Insya-Allah kita juga sedang mengenal pasti lokasi untuk mereka yang akan terima vaksin nanti,” katanya.

Advertisement

Beliau berkata kepada pemberita selepas menyambut fasa pertama bekalan vaksin Covid-19 jenis Pfizer-BioNTech yang tiba di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Kelantan, petang ini.

Ketibaan vaksin itu turut disambut Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Dato’ Dr Zaini Hussin dan Ketua Polis Kelantan, Dato’ Shafien Mamat.

Semalam empat kenderaan pengiring yang melibatkan seramai 12 pegawai dan anggota polis Kelantan bertolak ke ibu negara bagi mengiringi penghantaran vaksin fasa pertama ke negeri itu.

Menteri Besar turut melahirkan perasaan syukur kerana bekalan vaksin bagi fasa pertama itu selamat tiba di Kelantan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi orang pertama menerima suntikan vaksin yang disiarkan secara langsung melalui RTM petang semalam. – HARAKAHDAILY 25/2/2021