Kelantan banteras aktiviti jejas moral

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan terus mempergiatkan operasi bagi membanteras aktiviti yang menjejaskan moral termasuk kegiatan pelacuran.

Ahli Parlimen Tumpat, Dato’ Che Abdullah Mat Nawi berkata, kerajaan negeri memandangkan serius gejala tersebut melalui tindakan bersepadu agensi penguat kuasa dan Polis Diraja Malaysia.

“Ini membuktikan agensi berkaitan sentiasa melakukan pemantauan termasuk membanteras aktiviti pelacuran,” katanya ketika ditemui pada lawatan ke projek ternakan ikan tilapia air payau di Pantai Kundur hari ini.

Semalam polis berjaya membongkar kegiatan sindiket pelacuran melibatkan lima wanita warga tempatan dipercayai golongan ibu tunggal melalui aplikasi MiChat yang dijalankan di Kubang Kerian.

Advertisement

Serbuan berkenaan dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah, Cawangan D7 Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan menerusi Ops Noda.

Menurut Ketua Polis Kelantan Dato’ Shafien Mamat operasi yang dijalankan berjaya menahan sembilan lelaki tempatan, seorang lelaki warga Myanmar dan lima wanita tempatan berusia 22 hingga 60 tahun.

Che Abdullah yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan berkata, tindakan agensi terbabit wajar dipuji dalam usaha membanteras aktiviti pelacuran.

“Kegiatan itu bukan saja menjejaskan suasana politik, ekonomi, sosial dan budaya tetapi turut memberikan impak terhadap pembangunan modal insan cemerlang,” katanya.

Kerajaan Kelantan sejak Oktober 1990 mengharam aktiviti yang boleh mendorong kegiatan maksiat termasuk persembahan hiburan melampau dan kelab malam.

Malah semua aktiviti perjudian juga dibanteras dengan tidak mengeluarkan lesen premis di bawah bidang kuasa kerajaan tempatan. – HARAKAHDAILY 25/2/2021