Jambatan ikonik tarikan baharu di Tasik Kenyir

Foto daripada TRDI News.

HULU TERENGGANU: Terengganu bakal mempunyai satu lagi daya tarikan pelancongan terbaharu apabila jambatan ikonik di Pulau Poh, Tasik Kenyir di sini siap sepenuhnya pada Mei depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Negeri, Ariffin Deraman berkata jambatan itu adalah sebahagian daripada komponen projek pembangunan pusat bebas cukai di tasik tersebut.

Beliau berkata, jambatan ikonik yang bermotifkan kepala bangau itu, dibina berkonsepkan kabel tetap dengan empat lorong sepanjang 133 meter yang menelan kos pembinaan sebanyak RM107 juta.

“Struktur binaan dan reka bentuk jambatan yang gah ini akan menjadi satu lagi mercu tanda yang bakal melonjakkan industri pelancongan di Terengganu.

Advertisement

“Projek pembangunan pusat bebas cukai Tasik Kenyir di Pulau Poh yang kini hampir 100 peratus siap itu antaranya melibatkan pembinaan terminal utama jeti penumpang, jeti kargo, pembinaan kawasan rehat dan rawat, tempat letak kenderaan, pembinaan sistem perparitan, keperluan pengurusan pengawalan alam sekitar, kemudahan sistem rawatan kumbahan dan hotel 150 bilik bertaraf tiga bintang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis penyampaian Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu (BERKAT) Sektor Pelancongan kepada wakil pemandu bot dan pengusaha rumah bot serta malim gunung di Tasik Kenyir di sini, hari ini.

Pada majlis itu seramai 230 pemandu dan pengusaha rumah bot serta 33 malim gunung menerima bantuan secara sekali beri berjumlah RM300 setiap seorang, melibatkan kos keseluruhan RM78,900.

Ariffin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Alor Limbat berkata bantuan itu akan diagihkan kepada penerima secara berperingkat dengan disalurkan terus ke dalam akaun penerima yang telah dikenal pasti.

BERKAT Sektor Pelancongan adalah insentif khas yang diumumkan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bagi meringankan beban penggiat industri pelancongan yang terjejas akibat penularan pandemik Covid-19.

Ia melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM150,200 membabitkan pemandu teksi Lapangan Terbang Sultan Mahmud, pemandu pelancong bandar dan alam semula jadi, pengayuh beca, pengusaha bot penambang, pemandu bot laju Tasik Kenyir serta malim gunung. – BERNAMA

Fato daripada TRDI News.