Imam nasihat jangan fitnah Ahli Parlimen Jerai

JERAI: Ahli Parlimen Jerai, Ustaz Sabri Azit kesal sikap pihak yang tidak bertanggungjawab mengaitkan beliau dengan pembinaan sebuah rumah pondok di Batu 16, Padang Lumat.

Beliau berkata, pembinaan pondok itu merupakan di bawah pengurusan Masjid Ubudiah, Batu 16 bagi kegunaan seorang asnaf di kariah berkenaan.

“Saya tidak tahu menahu hal berkenaan, cuma saya dijemput untuk menyerah kunci kepada pemilik rumah pondok berkenaan.

“Projek itu di bawah tanggungjawab masjid tersebut bukan Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) Parlimen Jerai.

Advertisement

“Saya hanya menyumbang peruntukan kewangan kepada pihak masjid dan terpulang kepada mereka menggunakan wang tersebut untuk apa-apa keperluan di kariah berkenaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Rumah pondok terbabit terletak kira-kira 20 meter dari Surau Mustaffa dibina pihak pengurusan Masjid Ubudiah di tanah yang diwakafkan penduduk kampung untuk membina sebuah mahaad tahfiz.

Baru-baru ini tular di media sosial yang mendakwa Ahli Parlimen Jerai membina rumah untuk asnaf namun tidak mempunyai kemudahan asas termasuk elektrik, tandas dan bilik air.

Sementara itu Imam Masjid Ubudiah, Batu 16 Ustaz Mohd Fikri Ishak berkata, pondok yang dibina itu untuk warga emas dikenali sebagai Ismail London dan tiada kena mengena dengan peruntukan PKWR parlimen.

Sebaliknya beliau ahli parlimen Jerai hanya menyumbang peruntukan untuk masjid terbabit dan digunakan membantu anak-anak kariah seperti membaiki bumbung rumah dan dapur.

“Ismail London atau Ae’ London tiada keluarga, dia hidup sebatang kara. Tidak pernah berkahwin. Dahulu dia tinggal di rumah begitu daif di kawasan semak dan belukar.

“Sebelum ini banyak agensi termasuk Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) membantu membina rumah tetapi status tanah hak milik orang lain,” jelas beliau.

Berikutan itu kata beliau tanah yang diwakaf penduduk dimanfaat pihak masjid membina sebuah rumah pondok yang dilengkapi tilam, bantal dan keperluan lain.

Di samping itu kata Fikri, pondok itu hanya sementara menanti selesai status tanah di Perkampungan Asnaf, rumah yang lebih selesa dibina untuk Ismail.

“Memang pihak masjid tidak membina bilik air di pondok itu, dia boleh guna kemudahan di surau hanya 20 meter sahaja jaraknya. Lagi pun pondok itu sementara sahaja.

“Jadi saya minta pihak yang viral jangan membuat kerja fitnah terhadap Ahli Parlimen Jerai, hentikanlah. Boleh datang berjumpa saya sekiranya hendak tahu cerita lebih lanjut,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 25/2/2021