RM60 juta bina semula tebing sungai runtuh

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan negeri memerlukan kira-kira RM60 juta untuk membaiki semula tebing dan kawasan tanah runtuh di Kampung Pohon Chelagi, Pasir Mas.

Timbalan Menteri Besar, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, kerajaan negeri sedang melakukan kajian keperluan itu yang dibentangkan Jabatan Kerja Raya.

“Jabatan Kerja Raya mencadangkan beberapa langkah menyelesaikan masalah tersebut dan kita sedang lihat cadangan terbabit kerana kos baiki runtuhan hampir RM60 juta.

“Ini bagi membaiki semula tebing dan bina rivet batu dan sebagainya, sekarang ini kita tengok dahulu,” katanya kepada media selepas mesyuarat Exco di MABNA MBI Kompleks Kota Darulnaim hari ini.

- Advertisement -

Pada kejadian awal Rabu lepas empat kediaman penduduk rosak teruk ekoran tebing Sungai Kelantan di Kampung Pohon Chelagi runtuh.

Pada kejadian hari pertama sebuah rumah dan sebuah kereta jenis Myvi terhumbang ke tebing bawah sungai bersama runtuhan tanah.

Kejadian tanah runtuh tersebut membahayakan lebih 50 rumah di kawasan terbabit. Malah mereka dipindah selepas kejadian itu yang melibatkan sepanjang 200 meter di tebing Sungai Kelantan.

Runtuhan dikatakan bermula jam 2.30 pagi itu berlarutan sehingga 6.30 pagi menyebabkan kediaman penduduk dan harta benda mereka lenyap akibat runtuhan tebing.

Mohd Amar juga berkata tebing yang runtuh akan dipasang batu dan dibangun semula bagi memastikan kejadian itu tidak berulang pada masa hadapan.

Mangsa terbabit menerima bantuan segera daripada kerajaan negeri melalui Tabung Serambi Mekah. Malah semalam ahli parlimen Pasir Mas Ahmad Fadhli Shaari turut menghulur sumbangan kewangan kepada penduduk terlibat. – HARAKAHDAILY 24/2/2021

- Advertisement -