Polis kesan individu langgar SOP rentas negeri

- Advertisement -

KOTA BHARU: Polis sedang mengesan beberapa individu yang dipercayai melanggar prosedur operasi standard (SOP) dengan merentas negeri untuk menghadiri majlis perkahwinan rakan mereka di Kelantan baru-baru ini.

Ketua Polis Kelantan, Dato’ Shafien Mamat berkata, berdasarkan semakan menerusi paparan di Instagram, terdapat beberapa keping gambar yang dimuat naik individu tersebut.

Katanya, gambar berkenaan menunjukkan rakannya mengambil foto bersama pasangan pengantin tanpa penjarakan fizikal dan tidak memakai pelitup separuh muka.

“Gambar berkenaan mendapat komen negatif daripada netizen yang tidak berpuas hati dengan tindakan individu terlibat.

- Advertisement -

“Mereka gagal mematuhi SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Keadaan itu sekali gus mempersoalkan mengenai pergerakan rentas negeri rakan pengantin dari luar ke Kelantan,” katanya pada satu kenyataan semalam.

Baru-baru ini, tular di media sosial Instagram apabila beberapa orang influencer memuat naik foto dan video perjalanan merentas negeri secara beramai-ramai dari ibu negara ke Kelantan menghadiri majlis perkahwinan rakannya.

Mereka turut berkongsi gambar majlis perkahwinan rakan dan bersantai-santai di tepi pantai.

Shafien juga berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan perkara itu petang semalam.

“Polis sedang mengesan individu yang terlibat. Kes tersebut disiasat mengikut Peraturan 16, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah dalam kawasan tempatan jangkitan)(Kawalan Pergerakan Bersyarat) (No.3) 2021,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 24/2/2021

- Advertisement -