Komitmen PM, KPK bukti vaksin dijamin selamat

- Advertisement -

TAHNIAH saya ucapkan kepada YAB Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Dato’ Hj. Muhyiddin Yassin yang telah menjadi orang pertama menerima suntikan vaksin COVID-19 dan diikuti oleh YBhg Tan Sri Dato’ Seri Dr Noor Hisham Abdullah bersama-sama petugas barisan hadapan yang juga menerima suntikan COVID-19 pada hari ini. Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dijadualkan berlangsung dari hari ini sehingga Februari tahun depan.

Komitmen yang ditunjukkan oleh YAB Perdana Menteri, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia serta petugas barisan menerima vaksin pada hari juga adalah bukti bahawa vaksin ini dijamin selamat, tidak memudaratkan, tidak mempunyai mikrocip yang boleh mengambil alih kawalan pemikiran kita serta bukan salah satu daripada agenda iluminati yang akan membentuk ‘New World Order’.

- Advertisement -

Pemuda PAS juga ingin menegaskan bahawa kami berdiri teguh bersama Dato’ Seri Tuan Guru Presiden PAS untuk menerima vaksin COVID-19 yang telah diusahakan oleh pihak kerajaan.

Bank Dunia telah meramalkan bahawa ekonomi Malaysia akan kembali berkembang pada kadar 6.7 peratus bagi tahun 2021. Prestasi ekonomi yang memberansangkan ini sangat bergantung kepada program vaksinasi yang telah diusahakan oleh pihak kerajaan.

Kejayaan pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan adalah penting bagi memastikan unjuran pemulihan ekonomi ini dapat direalisasikan. Sekiranya program vaksinasi ini berjalan dengan baik sehingga 80 peratus rakyat Malaysia yang dewasa berjaya mengambil suntikan vaksin, kita dapat memastikan sasaran Malaysia membentuk imuniti berkelompok berjaya dicapai seterusnya membendung penularan virus COVID-19. 

Saya juga seperti anda semua, ingin kembali pada kehidupan normal kita sebelum diserang COVID-19. Marilah sama-sama kita daftarkan diri kita untuk menerima vaksin COVID-19 melalui pelbagai kaedah yang telah disediakan oleh pihak kerajaan. Bukan sekadar untuk lindungi diri kita, bahkan untuk kita lindungi semua.

YB SENATOR IR. TS. HJ. KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
Ketua Pemuda Perikatan Nasional – HARAKAHDAILY 24/2/2021 

- Advertisement -