Kelantan perluas kawasan jelapang padi

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kelantan meneruskan usaha ke arah muncul negeri jelapang makanan dengan membaik pulih tanah-tanah terbiar dan melaksanakan projek infrastruktur di luar kawasan jelapang padi.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar negeri, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, usaha digerak bagi menjadikan Kelantan sebagai jelapang makanan.

“Menjadikan Kelantan sebagai jelapang makanan merupakan hasrat semenjak lebih 10 tahun lalu, di mana ketika itu di bawah pentadbiran Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.

“Kita memiliki kawasan padi yang banyak. Selain itu kita juga ingin mengembangkan ternakan termasuk lembu dan kambing.

- Advertisement -

“Dan tahun ini juga kita menerima bajet untuk pembangunan pusat pengumpulan susu dan ia termasuk dalam perancangan kerajaan mahu menjadikan Kelantan sebagai negeri jelapang makanan,” katanya ketika ditemui di sini.

Tuan Saripudin berkata, Kelantan masih mengekalkan tahap sara diri atau self-sufficiency level (SSL) di peringkat 110 peratus dan ia menunjukkan padi di negeri itu mencukupi keperluan rakyat.

Menurutnya juga Kerajaan Persekutuan meluluskan peruntukan sebanyak RM10 juta untuk melaksanakan projek infrastruktur di luar kawasan jelapang padi di Kelantan dalam usaha meningkatkan pengeluaran padi.

“Kerajaan negeri menyasarkan pengeluaran padi daripada empat atau lima kepada enam hingga tujuh metrik tan sehektar.

“Rancangan itu adalah sebahagian daripada usaha awal untuk memperluaskan kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) yang kini semakin mengecil akibat sawah sedia ada dibangun rumah dan projek komersial,” ujarnya.

Katanya juga projek itu akan dilaksana dan dipantau Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan.

Tuan Saripudin yang juga anggota Lembaga Pengarah KADA berkata, apabila projek berkenaan siap nanti tanaman padi di kawasan itu dapat dipertingkatkan kepada dua kali setahun.

Menurutnya juga kawasan itu juga boleh diletakkan di bawah seliaan KADA yang mempunyai keupayaan membangunkan taraf hidup petani di luar kawasan jelapang padi. – HARAKAHDAILY 24/2/2021

- Advertisement -