Jangan terpedaya sebaran golongan antivaksin

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia diingatkan supaya tidak terpedaya dengan berita tidak benar berkaitan vaksin yang cuba disebarkan oleh golongan antivaksin.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, pelbagai penjelasan telah dibuat oleh pihak kerajaan berkaitan usaha vaksinasi ini.

“Kita ada kerajaan yang mentadbir negara dan telah mengesahkan (vaksin) selamat digunakan untuk mencegah dan memutuskan rantaian jangkitan Covid-19.

“Malahan, ia turut disokong oleh Majlis Muzakarah Fatwa Kebangsaan dengan mengesahkan tiada unsur haram dan meragukan,” katanya kepada Harakahdaily.

- Advertisement -

Beliau berkata demikian mengulas dakwaan golongan antivaksin mengaitkan suntikan vaksin Covid-19 dengan pelbagai teori konspirasi termasuk agenda Yahudi.

Jelas Ahmad Yunus, vaksin itu dihasilkan secara saintifik dan bukan berdasarkan teori sahaja, jadi jangan dikaitkan dengan teori-teori yang tidak berasas.

“Saya mengharapkan rakyat Malaysia yang seharusnya menerima vaksin ini, terima suntikan dengan terbuka bagi menyelamatkan keselamatan dan kesejahteraan negara kita,” katanya.

Sebelum ini, Majlis Fatwa Kebangsaan telah memutuskan hukum penggunaan vaksin Covid-19 dalam kalangan masyarakat Islam adalah harus selaras resolusi Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) ke-10 yang bersidang pada 3 Disember lalu.

Setakat ini, 571,802 anggota barisan hadapan telah mendaftar untuk mendapatkan imunisasi itu dengan 57.3 peratus merupakan petugas sektor perubatan dan kesihatan, sementara baki 42.7 peratus adalah anggota sektor keselamatan seperti Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia, Jabatan Penjara, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Fasa kedua program ini akan bermula dari April hingga Ogos, melibatkan warga emas berusia 60 tahun ke atas serta kumpulan rentan dengan masalah morbiditi selain orang kurang upaya, manakala fasa ketiga dijadualkan dari Mei hingga Februari 2022 untuk kumpulan berusia 18 tahun dan ke atas. – HARAKAHDAILY 24/2/2021

- Advertisement -