Darurat: A Kadir Jasin berspekulasi karut, menghasut

DEWAN Pemuda PAS Negeri Johor (DPPNJ) cakna dan meneliti kenyataan yang dibuat oleh beliau melalui Facebook berhubung perkara tersebut [1]. Kenyataan tersebut disifatkan sebagai pra-matang dan tidak berasas ekoran ianya dibuat hanya bersandarkan kepada andaian, kononnya rentetan daripada mesej yang beliau terima daripada seorang rakan. Kenyataan tersebut adalah tidak bersandar kepada fakta dan hanya bersifat spekulatif.

Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-raja melalui laman web rasmi pada seluruh masa yang material memaparkan butiran yang lengkap berhubung program dan aktiviti yang melibatkan Majlis Raja-raja Melayu. Bahkan penangguhan Mesyuarat Majlis Raja-raja Melayu yang telah dijadualkan adalah atas faktor Perintah Kawalan Pergerakan yang sedang berkuatkuasa. Maka sebarang bangkitan spekulasi ke atasnya adalah karut!

Advertisement

DPPNJ mengecam sebarang usaha memperkecil institusi Raja yang sekian lama menjadi payung kesucian agama Islam di Malaysia. Memahami kesucian Islam di Malaysia terus dipelihara, maka mereka dilihat telah mengheret institusi Raja demi misi tidak sihat golongan ini.

Bahkan, beliau secara licik menutup kenyataan tersebut dengan memberikan seakan peringatan bahawa kedudukan Majlis Raja-raja Melayu akan turut terkesan sekiranya perbahasan di kalangan warganegara berhubung pengisytiharan Darurat dan penangguhan sidang Parlimen tidak ditangani. Suatu kenyataan yang wajar diklasifikasikan sebagai tidak bermerit.

DPPNJ menyifatkan kenyataan tersebut sebagai suatu hasutan dan tindakan pemilik akaun tersebut sebagai penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian, sebagaimana termaktub dalam undang-undang.

DPPNJ dengan merujuk kepada penyataan yang telah dibuat memandang serius perkara tersebut dan menggesa agar pihak berkuasa menjalankan siasatan terhadap beliau berhubung kenyataan tersebut berasaskan undang-undang sebagaimana berikut:

Akta Hasutan 1948
a. Seksyen 2 (Tafsiran ‘Menghasut’): apa-apa perbuatan, ucapan, perkataan, penerbitan atau selain yang boleh menjadikan perkara ini (iaitu perbuatan, ucapan, perkataan, penerbitan atau selainnya) mempunyai kecenderungan menghasut;
b. Seksyen 3 (‘Kecenderungan Menghasut’): terpakai kepada kecenderungan, antara lain melibatkan perkara yang mendatangkan kebencian atau penghinaan atau bagi membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana Raja atau bagi mengembangkan perasaan niat jahat dan permusuhan antara kaum atau golongan penduduk yang berlainan di Malaysia’
c. Seksyen 4(1)(a): mana-mana orang yang melakukan atau cuba melakukan, atau membuat apa-apa persediaan untuk melakukan, atau berkomplot dengan mana-mana orang untuk melakukan apa-apa perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut atau jika dilakukan, akan mempunyai kecenderungan menghasut, melakukan suatu kesalahan;

Allah S.W.T:

اَلَمْ تَرَ اِلَى الَّذِيْنَ تَوَلَّوْا قَوْمًا غَضِبَ اللّٰهُ عَلَيْهِمْ ۗ  مَّا هُمْ مِّنْكُمْ وَلَا مِنْهُمْ ۙ وَيَحْلِفُوْنَ عَلَى الْكَذِبِ وَهُمْ يَعْلَمُوْنَ

“Tidakkah engkau melihat (bagaimana jahatnya) orang-orang yang bersahabat karib dengan kaum yang telah dimurkai Allah (dengan sebab kekufuran dan khianatnya)? Mereka itu bukanlah dari golongan kamu dan bukan pula dari golongan kaum yang tersebut itu (kerana mereka ialah golongan munafik); dan lagi mereka selalu bersumpah dengan dusta, sedang mereka mengetahui (bahawa mereka adalah berdusta).”

(al-Mujadilah: 14)

Kesetiaan kepada Raja dan Negara merupakan salah satu sendi Rukun Negara bahkan Raja-raja Melayu adalah dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan. Suatu kesetiaan yang tiada berbelah bahagi. DPPNJ mengajak seluruh rakyat mempertahankannya. Teguh kita menang bersama.

Rujukan:
[1] https://www.facebook.com/1114194475/posts/10223719142502604/?d=n

AHMAD NAWFAL MAHFODZ
Ketua 
Dewan Pemuda PAS Negeri Johor – DPPNJ – HARAKAHDAILY 24/2/2021