1,000 terima suntikan vaksin sehari di Perlis

- Advertisement -

KANGAR: Dianggar 8,000 rakyat Perlis akan menerima suntikan vaksin Covid-19 bagi fasa pertama, kemudian dikuti 94,000 orang fasa kedua dan 100,000 orang fasa ketiga.

Menteri Besar, Dato’ Seri Azlan Man berkata, bagi fasa pertama tempat yang dikenal pasti iaitu di Klinik Kesihatan Kampung Gial, Klinik Kesihatan Mata Ayer, Klinik Kesihatan Beseri, Klinik Kesihatan Felda Chuping dan Hospital Tuanku Fauziah.

Katanya, fasa kedua dan ketiga pula akan digunakan Dewan 2020 dan Dewan Warisan, manakala di Padang Besar bertempat di Dewan Seri Melati, Beseri.

“Kita juga menimbang untuk menggunakan Dewan Sivik Arau jika terdapat keperluan untuk menggunakannya,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) Perlis di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, semalam.

- Advertisement -

Menurutnya juga mekanisme pelaksanaan pemberian suntikan vaksin diperincikan Jabatan Kesihatan Negeri di beberapa Pusat Pemberian Vaksinasi (PPV).

Kata beliau kerajaan negeri masih melihat tempat yang bersesuaian untuk menambah sama ada satu atau dua tempat lagi berdasar keperluan bagi mempercepatkan proses suntikan vaksinasi.

Perlis bakal menerima bekalan vaksin Covid-19 Pfizer-BioNTech hari ini.

“Vaksin berkenaan dijangka akan tiba pada waktu petang dan lokasi penyimpanan vaksin akan diberitahu kemudian.

“Jabatan Kesihatan negeri melihat tempat yang akan digunakan untuk penyimpanan vaksin terbabit kerana cara penyimpanan vaksin mempunyai spesifikasi dan peralatan yang khusus,” ujarnya.

Azlan juga menjangka proses pemberian suntikan vaksinasi akan diberi kepada tidak kurang 1,000 orang sehari di tempat yang ditetapkan. – HARAKAHDAILY 24/2/2021

- Advertisement -