Vaksin COVID-19: Kerajaan perlu tangani infodemik

- Advertisement -

DEWAN Pemuda PAS Malaysia menyambut dengan penuh gembira penerimaan vaksin COVID-19 fasa pertama semalam. Selepas bekalan air yang bersih, vaksin adalah senjata paling ampuh untuk memerangi penyakit berjangkit. Setelah hampir setahun kita mengharungi wabak COVID-19 dengan pendekatan kebersihan kendiri, penjarakan fizikal serta Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kita perlu maju kehadapan dengan vaksinasi.

YAB Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah meletakkan sasaran pemberian vaksin kepada 80 peratus rakyat Malaysia bagi membina imuniti kelompok. Beliau dan Presiden PAS, Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang telah menyatakan kesudian untuk mengambil vaksin COVID-19 sebagaimana saranan Kementerian Kesihatan Malaysia. 

- Advertisement -

Namun, kita juga berhadapan dengan wabak infodemik. Maklumat yang pelbagai tersebar begitu pantas tanpa sempat usul periksa serta dibayangi oleh agenda yang tersendiri. Prejudis, kekeliruan dan salah faham boleh menjadi penghalang kepada usaha vaksinasi. 

Keraguan terhadap vaksin adalah ancaman sejagat yang telah dikenal pasti oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia. Peningkatan penyakit cegahan vaksin (vaccine preventable disease) berlaku secara mendadak disebabkan merebaknya maklumat salah (misinformation) dan manipulasi maklumat (disinformation).

Segala usaha, perbelanjaan dan perancangan kerajaan untuk menyediakan vaksin kepada rakyat akan sia-sia seandainya tiada kepercayaan apatah lagi keyakinan di kalangan rakyat untuk menerima vaksin. Aktiviti ekonomi, pendidikan dan sosial juga akan terus terjejas. 

Oleh itu, sepertimana pendekatan penjarakan fizikal dan PKP yang memerlukan peringatan dan penegasan secara harian oleh Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pertahanan, maka Dewan Pemuda PAS Malaysia mengusulkan agar usaha vaksinasi COVID-19 juga diberikan peluang dan ruang yang sama di media arus perdana. 

Rakyat memerlukan penegasan dan peringatan yang berulang serta terkini bagi memastikan usaha vaksinasi dilihat telus dan benar-benar menjadi jalan untuk kita keluar dari wabak COVID-19. Maklumat dan gambaran yang salah perlu ditepis dengan bukti dan fakta yang boleh diterima umum. 

Dewan Pemuda PAS Malaysia juga menyeru seluruh ahli PAS supaya mendukung usaha vaksinasi COVID-19 dengan mendapatkan maklumat yang sahih dan bersedia untuk membantu agensi kerajaan menjalankan aktiviti vaksinasi di komuniti. Semoga di atas berkat kesabaran dan usaha kita mengharungi dugaan ini, keredhaan Allah S.W.T menjadi milik kita semua.

YB SENATOR IR TS KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Ketua Pemuda PAS Malaysia
Ketua Pemuda Perikatan Nasional – HARAKAHDAILY 23/2/2021

- Advertisement -