Usahawan PKS Mikro penjana ekonomi negara

BERMULA dengan cetusan idea yang menimbulkan keazaman untuk menjadikannya sebagai realiti, dan diikuti seterusnya dengan ikhtiar menambahbaik idea untuk mencapai cita-cita lebih tinggi dalam dunia keusahawanan.

Ini adalah sekilas pandang rentetan perjalanan menempuh alam keusahawan yang telah dikongsi dengan saya oleh pengusaha PKS Mikro dan golongan usahawan tani yang saya temui dalam siri lawatan Tinjau MoF Kementerian Kewangan dan perjumpaan yang lainnya.

Maklum balas yang diterima dari peniaga di Jalan Raja Bot sudah tentunya berbeza dengan rintihan usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di Sabak Bernam, Kuala Pilah dan Jempol. Semua maklum balas yang amat berharga mengenai realiti persaingan dan cabaran masa kini di peringkat akar umbi membantu saya untuk menilai sendiri keberkesanan bantuan yang disalurkan kepada mereka di bawah inisiatif-inisiatif Belanjawan 2021, misalnya dari segi latihan, penambahbaikan pengetahuan sektoral, akses pasaran dan injeksi dana-dana pakej bantuan yang sewajarnya dari kerajaan.

Advertisement

Sebagai contoh, semasa saya ke Jalan Raja Bot saya dapati masih ada peniaga yang kurang arif mengenai bantuan yang layak mereka terima dan boleh mereka mohon dari kerajaan. Isu yang sama turut dialami oleh usahawan luar bandar. Inilah antara cabaran yang perlu diatasi oleh pihak kerajaan. Bagaimana kita hendak memastikan maklumat dapat disalurkan ke semua peringkat untuk memastikan mereka yang layak dapat menerima bantuan sewajarnya?

Ada juga yang masih ragu-ragu untuk mendaftar dengan agensi kerajaan seperti LHDN kerana khuatir dikenakan cukai sedangkan inilah cara paling mudah untuk kerajaan mengenalpasti golongan berpendapatan rendah yang layak menerima bantuan. Stigma seperti inilah yang perlu diatasi untuk melancarkan proses penyaluran bantuan.

Umpama ‘frontliners’ yang menjadi pendukung utama dalam mengekang pandemik COVID-19, golongan PKS Mikro, usahawan tani dan para pengusaha inovatif di dalam sektor-sektor perniagaan negara mampu menjadi pendukung kepada aspirasi dan perancangan kerajaan bagi mewujudkan peluang-peluang pekerjaan baru sebagai salah satu strategi penting menjana semula ekonomi negara.

Lebih penting lagi adalah peruntukan kerajaan bagi golongan ini, PKS Mikro khususnya, yang mencecah RM32.46 bilion melalui PRIHATIN, PENJANA, KITA PRIHATIN dan PERMAI melalui inisiatif seperti Program Subsidi Upah, Geran Khas PRIHATIN, Pembiayaan PKS Mikro oleh BSN dan Tekun, Kempen e-Dagang PKS dan PKS Mikro dan Shop Malaysia Online.

Dengan adanya inisiatif-inisiatif ini dan banyak lagi yang seumpamanya yang diperuntukkan dengan suntikan kewangan yang amat besar di bawah Belanjawan 2021 (belanjawan terbesar dalam sejarah), saya mengharapkan supaya PKS dan PKS Mikro serta usahawan tani dan pengusaha inovatif dapat menjadi faktor pengganda bukan sahaja kepada pemulihan kadar pengeluaran ekonomi negara, tetapi juga kepada pewujudan pekerjaan baharu.

Akhir kata dan sebagai peringatan mesra kepada semua PKS Mikro, usahawan tani dan pengusaha inovatif di seluruh negara yang masih lagi tidak berdaftar, saya ingin menyarankan agar mereka mendaftarlah dengan agensi-agensi kerajaan serta kementerian-kementerian yang sentiasa bersiap-sedia untuk menyalurkan bantuan-bantuan yang anda berhak mendapatkannya.

Sebagai langkah awal, jemputlah selidiki apa bantuan yang kini disediakan untuk perniagaan atau perusahaan anda melalui pautan https://belanjawan2021.treasury.gov.my/manfaat/

YB SENATOR DATO’ SRI TENGKU ZAFRUL TENGKU ABDUL AZIZ
Menteri Kewangan Malaysia – HARAKAHDAILY 23/2/2021