Rumah terbiar jadi transit pengumpulan dadah

- Advertisement -

PASIR MAS: Sindiket penyeludupan dadah dikesan menggunakan modus operandi menjadikan rumah terbiar sebagai transit dan stor pengumpulan dadah.

Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Senior Asisten Komisioner Hasan Basri Ahmad Safar berkata, memandangkan banyak rumah dan gudang yang tiada pemilik dipercayai dijadikan tempat kegiatan pengumpulan barangan seludup sebelum dibawa keluar.

Katanya sepanjang Op Benteng Covid bermula 16 sehingga 23 Februari ini PGA berjaya membuat rampasan sebanyak 16 kes dengan nilaian keseluruhan berjumlah RM4.49 juta.

Kata beliau, tahun ini pihaknya berjaya membuat rampasan terbesar membabitkan sebanyak 107 kilogram dadah jenis syabu.

- Advertisement -

“Manakala Pasukan Risik Batalion 8 turut berjaya membuat serbuan di sebuah bangsal di kawasan Kampung Kubang Puyu, Tok Sangkut, Jeram Perdah, Pasir Mas.

“Pada serbuan tersebut anggota PGA membuat pemeriksaan terhadap dua lelaki dan hasil ujian saringn awal air kencing kedua-dua lelaki berkenaan didapati positif dadah.

“Hasil pemeriksaan bangsal tersebut juga menjumpai 171 biji pil yaba dan kenderaan Toyota Estima yang disyaki klon kerana tiada dalam rekod Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ),” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Pasir Mas hari ini.

Hasan Basri juga berkata, PGA akan terus mempertingkat dan mengetatkan kawalan sempadan dengan memantau pengkalan haram di sepanjang Sungai Golok sehingga ke Pengkalan Kubor bagi mengekang kemasukan pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dan jenayah rentas sempadan. – HARAKAHDAILY 23/2/2021

- Advertisement -