PGA rampas dadah bernilai RM4.2 juta

- Advertisement -

PASIR MAS: Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya membuat rampasan terbesar dadah yang disyaki jenis syabu sebanyak 107 kilogram dengan nilaian RM4.2 juta.

Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Senior Asisten Komisioner Hasan Basri Ahmad Safar berkata, pasukan Strike Force merampas barangan tersebut dengan anggaran setiap bungkusan satu kilogram menjadikan keseluruhan berat syabu sebanyak 107 kg.

Menurut beliau, berdasar maklumat pihak narkotik jumlah rampasan dadah berkenaan dipercayai boleh menampung keperluan seramai 107,000 penagih.

“Bekalan dadah tersebut juga dipercayai untuk dipasarkan ke pasaran tempatan dan luar berdasar kepada permintaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Pasir Mas hari ini.

- Advertisement -

Kata beliau, pembongkaran penyeludupan itu berjaya dilakukan susulan operasi Op Benteng Covid Pasukan Gerakan Am 8 (PGA 8) dan Team Strike Force membuat pemerhatian di kawasan tapak rumah lama di Kampung Lubok Gong, Rantau Panjang, semalam.

“Hasil pemeriksaan dibuat di sekitar kawasan tapak rumah lama menjumpai enam bungkusan plastik hitam yang berada dalam ruangan kosong bawah tangga bersimen tapak rumah lama tersebut.

“Di dalam bungkusan tersebut mengandungi ketulan kristal yang dipercayai dadah jenis syabu,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 23/2/2021

- Advertisement -