Pati warganegara Myanmar pulang secara sukarela

Foto daripada Facebook Jabatan Imigresen Malaysia.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kesemua pendatang asing tanpa izin (Pati) warganegara Myanmar yang dihantar pulang bersetuju untuk pulang secara sukarela tanpa paksaan mana-mana pihak.

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) khususnya Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), National Task Force (NTF) dan pihak Kedutaan Myanmar telah melaksanakan program penghantaran pulang 1,086 Pati warganegara Myanmar, hari ini.

Ketua Pengarah Imigresen Malaysia, Dato’ Indera Khairul Dzaimee Daud berkata, semua Pati tersebut telah ditahan dalam depot-depot Imigresen di seluruh negara sejak tahun 2020.

Katanya, mereka dihantar pulang melalui Pangkalan TLDM Lumut, Perak dengan menggunakan tiga buah kapal Tentera Laut Myanmar.

- Advertisement -

“JIM ingin menegaskan bahawa semua tahanan yang dihantar pulang adalah merupakan Pati warganegara Myanmar dan tidak melibatkan etnik Rohingya atau pencari suaka,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, program penghantaran pulang itu merupakan sebahagian daripada aktiviti berterusan proses pengusiran oleh Jabatan Imigresen bagi tahanan yang ditempatkan di depot Imigresen.

Tambahnya, proses pengusiran pada tahun 2020 berjalan agak perlahan kerana kebanyakan negara menutup pintu sempadan masing-masing.

“Jabatan ini, melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Wisma Putra akan terus berusaha untuk mendapatkan persetujuan negara-negara terbabit seperti Vietnam, Indonesia, Bangladesh dan lain-lain supaya membawa pulang rakyat mereka yang kini ditahan dalam depot-depot Imigresen dalam jumlah yang besar,” ujarnya lagi.

Sehubungan itu, kata beliau JIM merakamkan ucapan terima kasih di atas kerjasama semua pihak khususnya TLDM dan NTF dalam menjayakan program penghantaran pulang itu. – HARAKAHDAILY 23/2/2021

- Advertisement -