MP sumbang kereta kepada mangsa tanah runtuh

- Advertisement -

PASIR MAS: Seorang wanita yang menyaksikan sendiri kediaman dan kereta Perodua Myvi lenyap bersama runtuhan tanah minggu lepas, hari ini menarik nafas lega apabila diganti kereta lain.

Ahli Parlimen Pasir Mas, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari bermurah hati menghadiahkan Nor Ain Ramli, 33, kereta lain bagi kemudahan keluarganya.

Rabu lepas kejadian tanah runtuh di Kampung Pohon Chelagi menyebabkan sebuah rumah dan kereta terhumban ke bawah tebing sungai.

“Ini merupakan hadiah daripada Pusat Khidmat Ahli Parlimen Pasir Mas kepada mangsa tanah runtuh sehingga mangsa kehilangan rumah dan kereta yang jatuh ke bawah tebing sungai.

- Advertisement -

“Proses tukar nama itu kita akan serah kepada wakil penjual kereta terpakai di sini. Kita uruskan mengenai pembayaran,” kata Ahmad Fadhli selepas majlis penyampaian bantuan kepada penduduk yang terlibat dengan kejadian tanah runtuh, di sini hari ini.

Seramai 50 penduduk di kampung tersebut menerima bantuan wang tunai RM2,000 bagi zon merah.

Manakala sumbangan RM1,000 kepada penduduk yang berada di zon kuning sementara zon hijau dalam perhatian.

Pada kejadian awal pagi Rabu lepas, sebuah rumah penduduk dan kereta terhumbang ke bawah tebing akibat tebing Sungai Kelantan runtuh. Sebanyak empat rumah penduduk terjejas teruk pada kejadian itu.

Sementara itu, Nor Ain mengucap terima kasih kepada Ahli Parlimen Pasir Mas kerana menghadiahkan sebuah kereta Proton selepas kenderaan yang digunakan sejak lima tahun lalu kini rosak teruk.

Beliau tidak merancang membeli sebuah kenderaan baharu sekarang kerana masih membuat bayaran ansuran bulanan pinjaman kereta sebanyak RM550 yang berbaki empat tahun lagi.

Menurutnya, kereta itu akan digunakan untuk menghantar dan mengambil anaknya yang belajar di Sekolah Kebangsaan Sultan Ibrahim II.

“Saya fikir sekarang bayaran ansuran bulanan kena bayar selama empat tahun lagi.

“Kalau YB tidak bagi, saya hanya dapat bergerak dengan motosikal sahaja, kalau hendak bawa anak-anak kena pinjam kereta abang ipar pula, jadi sangat gembira dapat kereta ini, mudahkan urusan,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/2/2021

- Advertisement -