Lihat kembali tata urus AIM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) minta kerajaan lebih prihatin melihat kembali tata urus Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) supaya kekal mencapai objektif asas membasmi kemiskinan rakyat.

Khususnya kepada golongan B40 Bumiputera luar bandar dan Kesatuan Pekerja-Pekerja Amanah Ikhtiar Malaysia (KEPAIM) yang merupakan pegawai-pegawai pelaksana setia untuk melaksanakan objektif tersebut.

- Advertisement -

Pengerusinya, Mohd Zai Mustafa berkata UMMAH bersama KEPAIM telah membuat satu laporan polis berkaitan isu yuran yang telah dibayar pekerja kepada agensi itu tetapi tidak dibayar kepada kesatuan.

Menurut beliau, mereka ini sepatutnya diberi keutamaan, dibela kebajikan kerana kesatuan ini menjadi tonggak dan platform kepada amanah ikhtiar untuk membela dalam kebajikan-kebajikan yang dilakukan menerusi kerja membantu AIM dan juga kerajaan untuk mencapai objektif.

“Kami telah berbincang dengan pihak KEPAIM pada minggu lepas dan telah memutuskan laporan polis dibuat pada hari ini.

“Ianya untuk mendesak pihak kerajaan khususnya yang telah menubuhkan agensi amanah ikhtiar ini pada tahun 1987 dengan dana kerajaan sebanyak RM800 juta lebih dan objektifnya untuk membasmi kemiskinan golongan Bumiputera B40.

“Maka kita desak supaya fungsi ini terus dikekalkan dan juga pegawai-pegawai ataupun kakitangan amanah ikhtiar dibela sepenuhnya. KEPAIM ini adalah kesatuan untuk membela kebajikan pekerja-pekerja kepada Amanah Ikhtiar Malaysia,” jelasnya.

Oleh sebab itu, tambah beliau, bila berlaku keadaan yang sedemikian, ia dikira amanah ikhtiar tidak berlaku jujur dan adil kepada pekerja serta juga kepada kesatuan.

Maklumnya lagi, kesatuan telah banyak kali berunding dengan amanah ikhtiar sehingga sekarang iaitu sepuluh bulan masih tertunggak tidak dibayar.

“Kita berharap dengan laporan polis ini akan memberikan suatu tindakan pantas di peringkat amanah ikhtiar sendiri dan juga di peringkat kerajaan yang sewajarnya menjadi pengawal selia kepada amanah ikhtiar untuk mengambil tindakan dan seterusnya untuk menambah baik tata kelola serta pengurusan amanah ikhtiar.

“Oleh kerana ini menggambarkan tata urus yang tidak baik kepada satu agensi yang ditubuhkan di bawah kerajaan dan kita minta agensi ini disiasat seluruh,” tegasnya.

Pada masa yang sama, beliau menggesa satu kertas siasatan dibentangkan kepada parlimen untuk menjelaskan beberapa keadaan yang menjadi keraguan.

“Kalau kita lihat dua hari yang lepas pengerusi Amanah Ikhtiar telah mengemukakan bayaran balik kepada kerajaan lebih RM200 juta.

“Semalam pun ada kenyataan yang menunjukkan bahawa hala tuju AIM akan berubah dan khabar angin akan diambil oleh syarikat yang bukan Bumiputera, ini semua menjejaskan fungsi utama amanah ikhtiar,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini, hari ini.

Beliau berkata sekiranya pihak Amanah Ikhtiar Malaysia gagal membuat tuntutan, peguam UMMAH akan menghantar surat tuntutan dalam minggu ini kepada kepada pihaknya.

“Dalam masa 14 hari kita minta mereka menjelaskan keseluruhan jumlah yang telah terkumpul dan tidak dibayar bersama dengan cas yang sepatutnya dibayar kepada kesatuan.

“Ianya supaya kesatuan ini dapat menjalankan fungsi sebagai satu kesatuan yang melindungi kakitangan-kakitangan amanah ikhtiar dalam menjalankan tugas-tugas mereka,” ujarnya.

Sementara itu, UMMAH turut membuat laporan polis berhubung isu rakaman video yang dimuat naik di Facebook bernama Happy Family Malaysia yang menunjukkan seorang lelaki bukan Islam dikatakan memurtadkan seorang wanita Islam.

Laporan polis telah dibuat oleh setiausaha Agung UMMAH, Khalil Idham Lim di IPD Dang Wangi, di sini hari ini.

Beliau berkata, laporan itu dibuat atas dasar umat Islam bangkit membantah dengan beberapa laporan polis.

“Pihak polis telah mencari pemuda itu, setakat ini didapati tidak lagi ditangkap dan direman.

“Rakaman menerusi Facebook Happy Family Malaysia telah menunjukkan permohonan beliau meminta maaf.

“Kami buat laporan bagi menegaskan bahawa permohonan maaf tidak boleh diterima oleh umat Islam dengan tindakan beliau,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa pihak polis bertindak tegas kepada pemuda ini atas isu yang telah dibangkitkan jelas menghina Islam, Nabi Muhammad, Kaabah, masyarakat Melayu serta India Muslim.

“Ini satu tindakan yang tidak bertanggungjawab yang telah menimbulkan keresahan dalam masyarakat di negara kita.

“Tindakan dia memurtadkan seorang Islam ini juga bercanggah dengan perlembagaan Malaysia yang mana melarang ataupun menghalang mana-mana agama lain didakyahkan kepada penganut agama Islam.

“Ini satu penghinaan yang saya kira perlu diambil tindakan yang tegas,” katanya pada sidang media, hari ini.

Dalam pada itu, katanya UMMAH seluruh negeri dan jaringan NGO di bawahnya digesa mengadakan laporan polis bermula hari ini sehingga tiga hari di seluruh negara. – HARAKAHDAILY 23/2/2021

- Advertisement -