JKM Kedah cari waris dua bayi perempuan

ALOR SETAR: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kedah sedang mengesan ibu bapa, waris atau pihak bertanggungjawab ke atas dua bayi perempuan yang ditemukan ditinggalkan di Langkawi dan Kuala Kedah, baru-baru ini.

Bahagian Kanak-Kanak JKM Kedah dalam kenyataan hari ini memaklumkan bayi pertama, yang kini berusia 22 hari, ditemukan di depan sebuah rumah di Kampung Nyiur Chabang, Langkawi pada kira-kira 10 malam 2 Februari lepas.

Bayi kedua, yang kini berusia 18 hari, pula ditemukan di Kampung Hilir, Kubang Rotan, Kuala Kedah pada kira-kira 4.30 petang 6 Februari lepas.

Advertisement

“Berdasarkan pemeriksaan pegawai perubatan, anggaran masa kelahiran bayi yang diselamatkan di Langkawi adalah pada 9 malam hari yang sama (ditemukan) dengan berat 2.3 kilogram (kg) dan ukuran panjang 49 sentimeter (cm).

“Anggaran masa kelahiran bayi yang diselamatkan di Kuala Kedah pula adalah pada 3 petang hari yang sama (ditemukan) dengan berat 2.82 kg dan ukuran panjang 45 cm,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut JKM telah membuat pendaftaran sijil kelahiran bagi kedua-dua bayi dengan yang dilahirkan di Langkawi diberi nama Miqaila Amal manakala bayi dari Kuala Kedah dinamakan Sabrine Amal.

Kedua-dua bayi kini berada di bawah jagaan sementara selama 30 hari di Tempat Selamat, Institusi JKM selepas Pelindung Kanak-Kanak JKM mendapat perintah mahkamah di bawah Perenggan 25(2)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 sehingga perintah mahkamah yang seterusnya.

Pihak yang mempunyai maklumat berkaitan kedua-dua bayi diminta tampil dan menghubungi Pelindung Kanak-Kanak Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Kota Setar di talian 04-7202 370 atau Pelindung Kanak- Kanak Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Langkawi di talian 04-9666 325. – BERNAMA