Covid-19 faktor permintaan komputer mendadak

- Advertisement -

KOTA BHARU: Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran penularan pandemik Covid-19 sejak tahun lepas, menyebabkan kedai menjual komputer dan gajet tidak menang tangan.

Wabak tersebut menyebabkan ramai kakitangan kerajaan dan swasta terpaksa bekerja dari rumah. Begitu juga pelajar terpaksa mengikuti pembelajaran secara atas talian.

Antara kedai yang menjadi tumpuan ramai East Computech System Sdn Bhd di Jalan Kuala Krai, dekat sini.

Pengurusnya, Mohd Nazri Abdullah berkata, jualan gajet seperti komputer dan komputer riba mendapat permintaan tinggi bermula tahun lepas.

- Advertisement -

Katanya, ia bermula selepas pelaksanaan PKP atau PKP Bersyarat (PKPB) apabila pelajar dan kakitangan awam atau swasta bekerja dari rumah.

“Jualan peralatan terbabit begitu tinggi bermula Jun tahun lalu. Purata sebanyak 250 komputer riba berjaya dijual setiap bulan.

“Trend jualan itu masih kekal sehingga ke hari ini memandangkan pelbagai pihak terpaksa menggunakan gajet berkenaan sama ada untuk bekerja atau belajar.

“Ditambah pula Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sejak tahun lalu permintaan gajet meningkat. Kami tidak dapat menyediakan komputer riba yang baharu memandangkan jumlahnya terhad,” ujarnya ketika ditemui di sini.

Menurutnya juga syarikat pembekal turut mengalami masalah serupa untuk mendapatkan stok yang banyak berikutan permintaan begitu tinggi di seluruh dunia.

Bagaimanapun, beliau berkata, walaupun komputer riba yang dijual jenis terpakai namun boleh dimanfaatkan bagi pelajar mengikuti PdPR.

“Kami memilih spesifikasi yang baik untuk pelanggan dan alhamdulillah setakat ini tidak ada luahan tidak puas hati daripada mereka.

“Walaupun komputer berkenaan jenis terpakai, namun ia dimasukkan dengan kelajuan prosesor yang tinggi. Kemudahan i3 sudah mencukupi untuk keperluan pelajar,” katanya.

Beliau juga memberitahu permintaan daripada penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) lebih tinggi berbanding pelajar sekolah menengah dan rendah. – HARAKAHDAILY 23/2/2021

- Advertisement -