Boleh tak Malaysia buat kilang vaksin?

BANYAK kali orang bertanya pada saya, boleh ke kita buat kilang vaksin dalam negara kita? Apa kurangnya negara kita yang mempunyai banyak herbal dan sumber asli untuk membuat vaksin? Jawapannya boleh. Mana-mana negara atas dunia ini boleh buat kilang vaksin dan menjualnya. Andai kata duit tiada masalah dan halangan, semua boleh dilakukan. Kalaulah tanya soalan boleh atau tidak, memang boleh. Tetapi mampukah kita?

Ada sahabat saya buat teka teki, soal beliau ‘burung terbang dengan sayap, gajah terbang dengan apa?’ Saya jawab ‘gajah terbang dengan susah payahnya.’ Saya dah tahu trik teka teki itu. Isunya di sini bolehkah gajah terbang? Ya, boleh tapi dengan susah payah kita berusaha menerbangkan gajah itu.

Advertisement

Perbahasan yang patut kita bincangkan adalah mampu atau tidak? Analoginya, kita makan roti yang diperbuat dari gandum. Gandum (wheat) itu diimport dari mana? Gandum tidak ditanam dalam negara Malaysia. Kita import dari luar negara. Cuma proses pembungkusannya dalam negara sejak 1960 lagi. Baik, cuba kita tanya boleh tak kita tanam gandum dan buat kilang proses gandum? Jawapannya boleh. Cuma mampu ke tidak?

Baik, andai kata ada seorang jutawan dunia ingin melaburkan duit bilion Ringgit kepada negara untuk buat ladang gandum dan kilang proses. Boleh ke tidak? Contohnya negara bagi bukit-bukau di Genting Highlands pada jutawan pelabur tersebut supaya dia bangunkan ladang gandum dan kilang proses. Boleh tak? Jawapannya juga boleh. Amat dialu-alukan. Cuma sanggup atau mampu ke tidak?

Berapa bilion Ringgit akan dihabiskan semata-mata ingin tarah segala bukit dan buat suasana bukit itu sejuk. Mungkin pasang aircond segenap penjuru supaya berada dalam keadaan sejuk seperti negara pengeluar sebenar. Struktur tanah pula perlu diubah suai supaya sesuai dengan penanaman gandum. Kaedah pengairan juga perlu sama dengan di ladang Prairies di Manitoba Kanada. Ribuan hektar semuanya.

Sudah tentu kosnya akan berkali-kali ganda. Mana mungkin individu pelabur ataupun syarikat besar sanggup untuk melabur dengan pulangan yang boleh dibuat di negara lain lebih berbaloi. Tapi kalau tanya balik jutawan mana yang sanggup berhabis melaburkan duit dengan bilion duit? Berbanding dengan pengilangan dan penanaman dibuat di negara-negara yang memang sudah pun kondusif? Sudah tentu mereka berfikir 100 kali. Bill Gates dan Sultan Muhammad Al Fayed pun tak sanggup. Kalau buka kilang pembungkusan itu mungkin. 

Justeru mari kita fikir-fikir balik berkaitan kilang buat vaksin dalam negara kita? Nak buat kajian vaksin memerlukan pembiayaan duit yang banyak. The Lancet Global Health menyatakan anggaran kos untuk menyediakan vaksin dan kajian untuk mengkaji keselamatannya dan keberkesanannya ialah paling kurang $31–$68 milion (USD). 

Kerajaan kita guna duit RM3 bilion untuk beli vaksin COVID-19 pun bising! Kos itu tak termasuk lagi dengan kajian untuk dibuat ke atas herba ataupun sumber-sumber asli dalam negara kita. Lagi banyak duit yang digunakan untuk mengkaji sahaja. Mungkin ambil berpuluh puluh tahun pula masa, rugi begitu saja duit negara. Lebih baik labur duit untuk pembangunan air bersih ke Selangor, Kelantan dan lain-lain negeri.

Jadi jawapan ringkasnya baik beli benda yang dah siap. Orang pun nak jual murah-murah dengan kita. Tak perlulah terbangkan gajah yang besar itu dengan susah payahnya.

DR SUHAZELI ABDULLAH
Pakar Perubatan Keluarga
Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) – HARAKAHDAILY 23/2/2021

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.